KUALA LUMPUR: Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan 2025 (National Sevens) yang berlangsung di Terengganu minggu hadapan menjadi medan terakhir buat pemain kebangsaan memburu tempat ke Sukan SEA 2025.
Setiausaha Agung Kehormat Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Fahmy Abd Jalil, berkata, kejohanan itu bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi pentas pemilihan untuk membentuk skuad lelaki dan wanita negara ke temasya dwitahunan itu.
Katanya, 30 nama pemain lelaki dan wanita telah dihantar kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), namun hanya 17 pemain terbaik bagi setiap pasukan akan berada dalam senarai akhir yang dijangka diketahui selewat-lewatnya pada 1 September depan.
“Semua pemain akan turun mewakili negeri masing-masing dan perlu beraksi cemerlang. Tiada jaminan tempat walaupun berada dalam senarai awal. Mereka perlu buktikan keupayaan dan bersaing bagi menjamin tempat,” katanya.
Fahmy turut menjelaskan keputusan untuk tidak membenarkan pemain import bertanding pada edisi kali ini dibuat demi pembangunan pemain tempatan, selaras dengan kerjasama bersama Majlis Sukan Negara (MSN).
Sebanyak 41 pasukan akan bersaing dalam empat kategori iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki Bawah 21 dan Wanita Bawah 21, dengan perlawanan berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail dan Padang D di Kuala Terengganu.
Tambah beliau, National Sevens juga menjadi medan persiapan ke dua siri Asia Sevens Series di Hangzhou, China pada September dan Colombo, Sri Lanka pada Oktober sebelum Sukan SEA yang dijadualkan berlangsung di Stadium Thai Air Force, Bangkok pada 14 dan 15 Disember nanti.
Dalam pada itu, Fahmy turut mengumumkan pelancaran Kejohanan Piala Agong edisi ke-41 yang menyaksikan 10 pasukan negeri berentap, termasuk juara bertahan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan naib juara, Johor.
Dua pasukan, Putrajaya dan Negeri Sembilan, tidak akan bertanding tahun ini susulan penggantungan atas isu teknikal pada musim lalu.-UTUSAN