Golf Amal Klinik Waqaf An-Nur kumpul dana RM588,877

Sukan

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM588,877 berjaya dikutip pada Kejohanan Golf Amal Klinik Waqaf An-Nur (KWAN) 2025 yang berlangsung di The Mines Resort & Golf Country Club, Seri Kembangan, dekat sini semalam.

Kejohanan itu dianjurkan oleh Waqaf An-Nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur) sempena ulang tahun ke-25 penubuhannya selain bertujuan mengumpul dana untuk lebih 20 Klinik Waqaf An-Nur beroperasi di seluruh negara.

Selain itu, ia juga sebagai usaha strategik untuk menyokong pembiayaan rawatan dialisis pesakit kurang berkemampuan di bawah inisiatif Dana KWAN.

Pengerusi Jawatankuasa Golf Amal KWAN, Datuk Mohamad Farid Salim berkata, selain menghimpunkan pemain golf, kejohanan itu juga turut menjadi platform mengeratkan ukhwah antara penaja, penderma dan komuniti yang prihatin terhadap kesejahteraan ummah.

Katanya, Waqaf An-Nur merakamkan penghargaan atas kehadiran dan sokongan semua pihak bagi menjayakan kejohanan amal ini.

“Saya amat terharu dengan komitmen dan kerjasama yang diberikan semua pihak. Dengan sumbangan yang diberikan, ia memperlihatkan semangat yang tinggi dan niat yang ikhlas untuk sama-sama membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang kejohanan itu.

Farid berkata, kesemua hadiah kejohanan adalah sumbangan Waqaf An-Nur sebagai tanda penghargaan kepada peserta yang menunjukkan semangat dan keprihatinan tinggi terhadap usaha kebajikan ini.

Sumbangan terbesar diterima daripada KPJ Healthcare Berhad sebanyak RM200,000; diikuti Johor Corporation dan Larkin Property Sentral Berhad yang masing-masing menaja RM50,000. Lebih 10 syarikat lain turut memberikan sumbangan.

Dana dikumpul akan disalurkan sepenuhnya kepada Dana KWAN yang menampung rawatan dialisis golongan asnaf dan pesakit yang tidak berkemampuan untuk menerima rawatan di fasiliti terpilih. – UTUSAN