Addeen muncul juara Terbuka Morrinsville

Sukan

PETALING JAYA: Pemain skuasy negara, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar merangkul gelaran ketujuh dalam kariernya selepas menewaskan rakan senegara, Joachim Chua pada perlawanan akhir Terbuka Morrinsville di New Zealand, semalam.

Kejohanan yang berstatus Jelajah Cabaran Persatuan Skuasy Profesional (PSA) itu berkesudahan Addeen melakar kemenangan selepas di paksa berhempas pulas selama 87 minit ke atas Joachim 7-11, 11-9, 9-11, 11-8, 11-4.

Addeen, 31, yang merupakan abang ipar kepada Aifa dan Aira Azman, bagaimanapun, mendapat laluan agak mudah pada set penentuan selepas Joachim ditimpa kecederaan ketika mata terikat 4-4.

Pemain muda negara berusia 20 tahun itu terpaksa beraksi dalam keadaan kaki yang tercedera, namun, semangatnya yang tinggi tidak mengizinkan dia mengaku kalah tanpa berjuang sehingga ke penghujung aksi walaupun keputusan tidak memihak kepadanya.

Addeen ketika ditemu bual selepas perlawanan memuji rakan senegaranya, Joachim yang bermain dengan cukup baik dan menghadirkan tentangan sengit dalam perlawanan akhir tersebut.

“Saya gembira dengan kejayaan ini selepas berehat selama lima bulan daripada skuasy, akhirnya saya berjaya juga merangkul gelaran di New Zealand,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).

Kata Addeen, dia bersyukur dengan kemenangan tersebut selepas kali terakhir dia memenangi gelaran ialah pada Terbuka North Coast, Australia, dua tahun lalu.

Pemain veteran kelahiran Selangor itu berehat selama lima bulan akibat ditimpa kecederaan bahu sebelum dia melakukan kemunculan semula pada Trofi Presiden di Seremban, Negeri Sembilan, bulan lepas.

Pada kejohanan itu, Addeen muncul sebagai naib juara selepas dia tumpas di tangan wakil Kanada, Karim Aguib pada perlawanan akhir. – UTUSAN