KUALA SELANGOR: Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang memperkenankan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah perlu dihormati dan wajar dilaksanakan meskipun prosedurnya masih dipertikaikan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, meskipun AGC mempertikaikan kaedah pengemukaan titah berkenaan sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, mereka tidak menafikan kewujudannya, menjadikannya bukan lagi khabar angin.
Jadi jelasnya, titah diperkenankan sebelum tamat tempoh pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu tetap sah dan mempunyai kedudukan perundangan yang kuat.
“Titah Adendum tersebut sudah pun disahkan kewujudannya oleh Jabatan Peguam Negara, sekali gus menamatkan segala spekulasi.
“Titah tersebut memberi ruang kepada Datuk Seri Najib yang juga bekas Perdana Menteri untuk menjalani baki hukuman secara tahanan rumah, tertakluk kepada kuasa Seri Paduka Baginda di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Langkah melaksanakan Titah Adendum bukan sahaja penting dari sudut keadilan, tetapi juga sebagai cerminan hubungan antara institusi politik dan raja berperlembagaan yang perlu dihormati semua pihak,” katanya ketika ditemui selepas Merasmikan Mesyuarat Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tanjung Karang, Selangor hari ini.
Pada 9 Julai lalu, AGC tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum oleh Yang Dipertuan Agong Ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Sebaliknya AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah tersebut sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, pelbagai pihak menuntut ketelusan serta penghormatan terhadap institusi raja berperlembagaan, sekali gus memastikan keadilan dapat ditegakkan selaras dengan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara. – UTUSAN