KUALA SELANGOR: Perbincangan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah selesai 98 peratus setakat ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu penting bagi mengelak pertindihan kerusi yang ditandingi selaras dengan hasrat Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu kerjasama dan perbincangan dilakukan.
“Itu yang kita sedang lakukan di Sabah. Secara umum saya boleh katakan BN-PH kini sudah 98 peratus dan hanya dua peratus belum belum selesai.
“Seperti biasa, kita (jentera) dari seluruh negara akan digerakkan untuk turun membantu pada PRN Sabah yang bakal berlangsung kelak,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang, hari ini.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengesahkan parti itu sudah mengadakan perbincangan dengan semua parti yang terlibat dengan PRN Sabah.
Bagaimanapun UMNO belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu namun telah bersiap sedia sejak tahun lalu.
Tambah Asyraf, kerjasama seumpama itu yang memungkinkan kemenangan besar di PRN Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Ayer Kuning dan Nenggeri sebelum ini.
“Jadi, kalau Sabah kita boleh bekerjasama kerana tidak banyak kerusi bertindih, kenapa kita kita tidak teruskannya.
“PDM (Pusat Daerah Mengundi) yang dahulunya kawasan itu tidak pernah menang kerana majoriti bukan Melayu, tapi kita menang kerana asasnya adalah kerjasama,” ujarnya.
Pada PRN ke-16 lalu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) sebanyak 14 kerusi, manakala Parti Bersatu Sabah (PBS) menawan tujuh kerusi.
Susulan itu, GRS secara rasmi membentuk kerajaan negeri baharu di Sabah selepas memenangi 38 kerusi dalam PRN Sabah pada tahun 2020. – UTUSAN