Sinner raih kejuaraan sulung Wimbledon

Sukan

LONDON: Juara Wimbledon, Jannik Sinner memberi amaran kepada Carlos Alcaraz bahawa dia akan menjadi lebih kuat selepas menewaskan seteru utamanya itu untuk merangkul gelaran kejohanan tersebut buat kali pertama, semalam.

Sinner membalas dendam atas kekalahan menyakitkan di final Terbuka Perancis kepada Alcaraz pada Jun lalu dengan persembahan bertenaga dan pukulan padu untuk menundukkan pemain Sepanyol itu.

Kemenangan 4-6, 6-4, 6-4, 6-4 pemain Itali itu menamatkan penguasaan dua tahun Alcaraz sebagai juara Wimbledon dan memberi Sinner gelaran Grand Slam keempat dalam kariernya.

Sinner kini telah layak ke empat final Grand Slam terakhir, memenangi tiga daripadanya dan pemain nombor satu dunia itu tidak bercadang untuk berpuas hati dengan kejayaan semasa.

“Saya rasa saya belum berada di tahap terbaik kerana pada usia 23 tahun, saya rasa anda belum capai bentuk terbaik sepanjang hidup anda. Jadi, harapnya saya boleh terus berkembang.

“Saya tetap melihat Carlos sebagai rujukan kerana hari ini (semalam) pun saya rasa dia masih melakukan beberapa perkara dengan lebih baik daripada saya. Itu perkara yang kami akan usahakan dan persiapkan diri kerana dia pasti akan kembali mencabar kami.

“Kami kini menjadi sasaran besar, jadi kami perlu sentiasa bersedia,” katanya.

PEMAIN tenis Itali, Jannik Sinner bergambar bersama trofi kemenangan selepas menjuarai Wimbledon semalam. – AFP

Sinner turut mengakui menewaskan pemain nombor dua dunia itu buat kali pertama sejak 2023 amat penting baginya.

“Ia penting, sudah tentu, kerana apabila anda kalah berkali-kali kepada seseorang, ia bukan perkara mudah. Tetapi dalam masa yang sama saya rasa saya hampir berjaya sebelum ini.

“Saya tidak pernah menjatuhkan semangat diri sendiri. Saya rasa saya telah melakukan sesuatu yang hebat kerana ia bukan perjalanan yang mudah. Datang ke sini dan menang Wimbledon memang luar biasa,” katanya. – AFP