PETALING JAYA: Zetrix AI Bhd., dahulunya dikenali sebagai MyEG Services Bhd. akan mendapatkan semakan kehakiman terhadap teguran awam Bursa Malaysia Securities Bhd. berhubung pendedahan yang mengelirukan dan ketidakpatuhan terhadap arahan kawal selia.
Dalam pemfailan di Bursa Malaysia, syarikat memberitahu, pihaknya telah berunding dengan peguam syarikat berhubung perkara tersebut.
“Lembaga pengarah Zetrix ingin mengumumkan bahawa syarikat dan lembaga pengarahnya, selepas berunding dengan peguam syarikat akan mendapatkan semakan kehakiman terhadap teguran awam.
“Pengumuman lanjut mengenai apa-apa perkembangan akan dibuat apabila ia sesuai atau perlu.,” katanya.
Semalam, Bursa Malaysia menegur secara terbuka Zetrix Al mengenakan denda kepada tujuh pengarah syarikat sebanyak RM150,000 setiap seorang kerana melanggar Keperluan Penyenaraian (LR) Pasaran Utama.
Bursa Malaysia berkata, penemuan pelanggaran dan denda yang dikenakan ke atas syarikat dan pengarahnya telah dibuat (mengikut) perenggan 16.19 LR Pasaran Utama apabila proses yang sewajarnya selesai dan selepas mengambil kira semua fakta dan situasi perkara itu.
“Ini termasuk tahap keseriusan pelanggaran, impaknya terhadap syarikat dan pemegang saham dan pelabur, serta peranan, tanggungjawab, pengetahuan, penglibatan dan tata laku/ tindakan/ketidaktindakan para pengarah,” katanya.
Pada 7 Julai 2023, Zetrix Al mengumumkan syarikat itu telah menerima surat pemakluman bertarikh 4 Julai 2023 daripada Kementerian Dalam Negeri yang mengesahkan bahawa Kementerian Kewangan meluluskan syarikat itu untuk dilantik sebagai ejen kutipan bagi hasil kerajaan dan melanjutkan peranannya sebagai penyedia perkhidmatan dalam talian untuk Jabatan Imigresen Malaysia.
Bagaimanapun, Bursa Malaysia berkata, pengumuman pada 7 Julai itu adalah tidak berdasarkan fakta, tidak tepat, palsu dan mengeliukan kerana kandungan surat bertarikh 4 Julai tidak konsisten dengan kenyataan yang dibuat oleh syarikat dalam pengumuman bertarikh Julai. – UTUSAN