Perdagangan Malaysia berada di landasan untuk capai sasaran

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan Malaysia untuk tahun ini berada dalam landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan antara empat hingga lima peratus, meskipun prospek perdagangan global dilihat semakin sederhana pada separuh kedua 2025.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, unjuran itu mengambil kira pencapaian pada separuh pertama tahun ini selain beberapa langkah strategik yang sedang dilaksanakan bagi mengekalkan momentum perdagangan.

“Jika dilihat kepada sasaran pertumbuhan kita, sekitar empat hingga lima peratus masih boleh dicapai. Bagaimanapun, pada separuh kedua tahun ini yang telahpun bermula, kita melihat perdagangan global semakin sederhana dari segi pertumbuhan.

“Prestasi perdagangan Malaysia bagi tahun ini masih berada dalam jangkaan. Seperti yang diketahui, unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) bagi pertumbuhan perdagangan pada tahun 2025 adalah sekitar lima peratus, ” katanya pada sidang media mengumumkan Kad Laporan Prestasi MITI Suku Kedua 2025 di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Kewangan (MOF) mengunjurkan kadar pertumbuhan sekitar 3.9 peratus. 

“Oleh itu, kerajaan akan terus memberi tumpuan untuk memastikan sasaran ini dapat dicapai,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, fenomena pemuatan hadapan (front-loading) yang berlaku sejak lima bulan lalu turut menyumbang kepada peningkatan aktiviti perdagangan, terutamanya menjelang tarikh akhir pengenaan tarif Amerika Syarikat (AS) pada 1 Ogos ini.

“Memang ada ‘front-loading’ dalam lima bulan kebelakangan ini dan ia dijangka berterusan sedikit sebanyak menjelang Ogos. 

“Namun saya berpendapat sebahagian besar aktiviti ini telah pun dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul memaklumkan, pelaburan hijau yang diluluskan di bawah Strategi Pelaburan Hijau (GIS) yang diperkenalkan pada Ogos 2024 mencatatkan perkembangan memberangsangkan, dengan nilai keseluruhan mencecah RM22.9 bilion setakat suku pertama 2025.

Jelasnya, sebanyak 1,492 projek telah diluluskan setakat ini, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar hijau negara yang digariskan dalam GIS, NIMP 2030 dan NETR 2030.

“Daripada jumlah tersebut, RM10.6 bilion atau 46.3 peratus merupakan pelaburan domestik (DI) manakala RM12.3 bilion (53.7 peratus datang daripada pelaburan asing (FI),” katanya. 

Tengku Zafrul memaklumkan, pelaburan ini telah mewujudkan sebanyak 9,199 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor berkaitan tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga, pengurusan sisa lestari dan teknologi hijau lain.

“Kejayaan awal ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan hijau serantau, sejajar dengan usaha negara untuk mencapai pertumbuhan ekonomi mampan serta komitmen terhadap perubahan iklim,” katanya.

Sementara itu, sektor pembuatan menunjukkan prestasi kukuh dari segi pelaksanaan projek pelaburan, dengan kadar realisasi projek yang semakin pantas sejak 2021, selaras dengan dasar Dasar Pelaburan Negara (NIP) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030).

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sebanyak 86.4 peratus daripada projek perkilangan yang diluluskan antara 2021 hingga suku pertama 2025 telah dilaksanakan, sekali gus mempercepatkan penciptaan peluang pekerjaan serta penyertaan syarikat kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian nilai industri. – UTUSAN