10 pemain import perkuat Kelantan TRW

Sukan

PETALING JAYA: Kelantan The Real Warrior (TRW) FC bakal diperkuatkan oleh 10 pemain import dalam saingan Liga Super 2025-2026 yang bermula awal bulan depan.

Nama semua pemain itu diumumkan penasihatnya, Tan Sri Annuar Musa di media sosialnya semalam, sekali gus menamatkan spekulasi pemain import kelab itu.

Mereka ialah ialah Ifedayo Olusegun, Prince Aggreh, Damyan Damyanov, Hein Htet Aung, Albert Kang, Alexandre Yeoule, Muayad Al Khouli, Simen Lyngbo, Abdul Sesay dan Yusuf Sesay.

“Selamat datang ke Liga Super Malaysia dan selamat datang ke Kota Bharu, gelanggang kita sekarang. Saya akan bertemu dengan anda tidak lama lagi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ifedayo, Aggreh dan Htet Aung bukan asing dalam kalangan peminat bola sepak Malaysia kerana ketiga-tiganya mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim lalu.

Ifedayo dan Aggreh pernah mewakili PDRM FC, manakala Htet Aung pula beraksi untuk Negeri Sembilan FC secara pinjaman selama semusim dari Selangor FC.

Damyanov pula ialah penjaga gol Bulgaria dan graduan akademi kelab Ludogorets dan beliau dijangka bersaing dengan Azfar Arif dan Fikri Che Soh untuk posisi penjaga gol utama.

Yeoule, Muayad, Lyngbo dan Yusuf pula dibawa masuk bagi memantapkan bahagian pertahanan selepas pasukan Pantai Timur itu melepaskan 82 gol pada musim lalu.

Sementara, Abdul Sesay pula diharap dapat mengetuai jentera serangan Kelantan TRW bersama Ifedayo dan Anggfreh selain penyerang tempatan lain di kelab berkenaan.

Difahamkan, beberapa pemain import pasukan itu dilihat sudah tiba di Kota Bharu berdasarkan beberapa gambar yang dikongsikan pengurusan Kelantan TRW sebelum ini.

Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membenarkan kelab Liga Malaysia (Liga M) mendaftarkan seramai 15 orang pemain import untuk saingan musim depan.-UTUSAN