JDT capai objektif pra musim di Sepanyol 

Sukan

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan kempen pra musim mereka di Sepanyol dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Valencia Mestalla, semalam namun perlawanan itu dianggap mencapai objektif oleh pengendali skuad Harimau Selatan, Xisco Munoz dalam persediaan menghadapi Liga Malaysia (Liga M) yang bermula 8 Ogos ini.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain muda berusia 17 tahun, Jaume Dura pada minit ke-25.

Sepanjang empat perlawanan persahabatan di Sepanyol sebelum ini, JDT mencatatkan dua kemenangan dan dua seri. 

Mereka membelasah Real Murcia Imperial 4-0, menewaskan Costa City 1-0, seri 2-2 dengan Cardiff City dan 0-0 menentang Levante.

Pasukan Harimau Selatan kini diperkuat dengan kehadiran empat pemain warisan baharu negara,  Hector Hevel, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, dan Nacho Mendez.

Seterusnya, JDT akan meneruskan siri aksi pra musim menentang tiga kelab dari dunia Arab, Al Rayyan SC (Qatar) hari ini, Al Arabi SC (Qatar) pada Sabtu, dan Riyadh SC (Arab Saudi) pada 21 Julai.

Dalam saingan Liga Super Malaysia, JDT akan membuka tirai dengan perlawanan menentang Selangor bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim.

Untuk rekod, JDT dijangka akan terus mempertahankan Piala Sumbangsih, kejuaraan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA berikutan barisan pemain yang ada, selain persiapan pra musim diharungi mereka.

JDT juga dijangka mampu melangkah lebih jauh di pentas Liga Juara-Juara Asian Elite dengan sasaran melepasi pusingan 16 terbaik, selepas mencipta sejarah menjadi kelab Malaysia pertama berada di pentas tertinggi Asia.-UTUSAN