Commerze Capital peruntuk RM50 juta perkasa PKS bumiputera

Perniagaan

PETALING JAYA: Commerze Capital Sdn. Bhd. memperuntukkan dana pembiayaan sebanyak RM50 juta bagi menyokong usaha digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera di seluruh negara.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat dalam mempercepat transformasi ekonomi digital negara khususnya dalam kalangan usahawan yang masih belum mendapat akses kepada pembiayaan institusi kewangan arus perdana.

Pengarah Urusan Commerze Capital, Shahrom Latif berkata, inisiatif itu bukan sekadar menawarkan bantuan kewangan, sebaliknya langkah menyeluruh dalam memperkasa PKS agar mampu bersaing dalam persekitaran digital yang kian mencabar.

“Kami mahu memecahkan halangan dan membuka peluang yang lebih adil kepada PKS untuk berkembang secara digital. Ini bukan semata-mata soal pembiayaan, tetapi soal masa depan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, langkah tersebut dimulakan menerusi penyertaan strategik Commerze Capital sebagai rakan pembiayaan utama dalam program CelcomDigi My5G Bengkel Digital Usahawan 2025 yang telah berlangsung pada 8 Julai lalu di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, Commerze Capital akan meneruskan penyertaan dalam siri seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Pulau Pinang pada 14 Ogos ini.

“Untuk sesi seterusnya kita mempunyai matlamat untuk membawa manfaat pembiayaan dan literasi digital kepada lebih ramai usahawan luar bandar dan usahawan muda.

“Langkah ini selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Malaysia Digital Economy Blueprint (MyDIGITAL) untuk memperkasakan PKS yang menjadi tulang belakang ekonomi negara,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa transformasi digital merupakan kunci utama kepada daya tahan dan pertumbuhan jangka panjang sektor PKS di Malaysia.

“Kami komited untuk menjadi rakan sebenar dalam perubahan ini. Produk utama kami termasuk pemfaktoran invois, prapemfaktoran dan nasihat kewangan korporat. Semuanya direka bentuk untuk membantu PKS menangani cabaran aliran tunai dan membuka akses kepada peluang kontrak lebih besar,” katanya. – UTUSAN