Malaysia tewas 2-0 kepada Filipina

Sukan

PETALING JAYA: Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara memulakan kempen Piala ASEAN B-23 2025 dengan langkah sumbang apabila tewas 0-2 kepada Filipina dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi.

Penyudah tumpul menjadi masalah buat skuad muda negara walaupun menguasai hampir 70 peratus permainan dan 21 percubaan dengan hanya lima percubaan tepat, sebaliknya tujuh percubaan dilakukan Filipina menghasilkan dua gol menerusi serangan balas pantas diterapkan pasukan bimbingan Jeremy Mark Paguila.

Kekalahan itu menyukarkan misi anak buah Nafuzi Zain yang menyasarkan slot ke separuh akhir, sekali gus memaksa mereka melalui laluan berliku untuk mara ke pusingan seterusnya.

Filipina membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi gerakan tiga pemain yang bermula dengan hantaran jauh penjaga gol, Nicholas Guimaraes, kepada Javier Alessandro Mariona yang kemudian melakukan umpanan lintang disudahkan penyerang Otu Abang Banatao.

Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan deras Haqimi Azim Rosli namun bola sekadar menggegar palang dan percubaan susulan Aliff Izwan Yuslan pula berjaya dinafikan Guimaraes.

Walaupun Harimau Muda terus mengasak, Filipina berjaya menggandakan kelebihan pada minit ke-40 hasil serangan balas pantas dari sebelah kanan, dengan Uriel Reyes Dalapo melakukan larian solo sebelum menghantar bola kepada Banatao yang melakukan rembatan dalam kotak penalti bagi gol kedua peribadinya.

Malaysia hampir memperolehi gol sulung pada minit ke-52, namun peluang keemasan disia-siakan oleh Harry Danish Mohd Haizon yang terjatuh selepas tersepak tanah ketika hanya berhadapan penjaga gol Filipina.

Tiga minit kemudian, Filipina hampir menambah jaringan apabila rembatan deras Alejandro Reyes Pena dari luar kotak penalti sekadar singgah di palang tatkala penjaga gol negara, Zulhilmi Sharani sudah tertewas.

Pada minit ke-60, satu lagi peluang dicipta Malaysia tetapi rembatan dalam kotak penalti oleh Fergus Tierney sekali lagi dinafikan Guimaraes yang cemerlang mengawal kubu pasukannya sepanjang perlawanan.

Palang sekali lagi menjadi penghalang buat skuad muda memperolehi gol pertama menerusi percubaan kencang Nabil Qayyum Zainuddin pada minit terakhir perlawanan.

Malaysia akan turun menentang Brunei pada aksi kedua Kumpulan A, Jumaat ini sebelum menamatkan peringkat kumpulan menentang tuan rumah Indonesia pada 21 Julai.

Untuk rekod, Malaysia masih belum pernah menjuarai Piala ASEAN B-23 sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2005, dengan pencapaian terbaik adalah tempat keempat pada edisi sulung dan juga pada tahun 2023.