PETALING JAYA: Sektor perkhidmatan profesional Malaysia mencatat pertumbuhan produktiviti sebanyak RM94,964 bagi setiap pekerja pada tahun ini, berbanding RM89,748 pada tahun 2023.
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berkata, pencapaian tersebut merupakan rekod tertinggi dalam tempoh lima tahun sejak 2020, menghampiri penanda aras purata nasional sebanyak RM100,000.
“Kejayaan ini didorong oleh usaha strategik MPC melalui Nexus Produktiviti Perkhidmatan Profesional (PSPN) yang merangkumi bidang utama seperti perkhidmatan guaman, kewangan, kejuruteraan, seni bina, perkhidmatan pengurusan dan pengiklanan,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pengarah MPC, Datuk Zahid Ismail berkata, peningkatan dalam subsektor perkhidmatan profesional yang menjadi tunjang ekonomi negara, mampu meletakkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam bidang perkhidmatan tersebut.
“Jika subsektor ini terus diperkasa melalui digitalisasi, peningkatan kemahiran tenaga kerja, serta kecekapan regulasi, ia mampu melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam perkhidmatan profesional,” katanya.
Beliau menambah, sasaran utama MPC adalah memastikan subsektor ini bukan sahaja mencapai, malah melangkaui penanda aras nasional, seterusnya menjadi contoh terbaik dalam amalan produktiviti tinggi.
Dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit, MPC komited untuk terus memperkasa subsektor perkhidmatan profesional melalui pendekatan strategik, intervensi bersasar, dan pengukuhan kapasiti sektor tersebut.
“Usaha ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan produktiviti, tetapi juga memastikan sektor ini menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kelestarian ekonomi Malaysia secara keseluruhan.
“Melalui pelaksanaan inisiatif ini, subsektor itu dijangka akan mencatat pertumbuhan produktiviti yang lebih memberangsangkan, sekali gus memperkukuh daya saing negara di peringkat antarabangsa,” katanya.
Pada masa sama, Pengerusi PSPN, Ts. Ir. Choo Kok Beng berkata, peningkatan produktiviti itu adalah hasil sinergi kukuh antara teknologi, kolaborasi sektor awam-swasta, dan kerjasama strategik antara industri dengan institusi latihan.
“Kami yakin subsektor ini mampu mencipta ekosistem mampan yang menyokong inovasi dan pertumbuhan ekonomi berdaya tahan. Produktiviti tinggi adalah hasil daripada usaha bersepadu semua pihak,” katanya. – UTUSAN