OPR turun, suntikan positif kepada sektor hartanah

Perniagaan

PETALING JAYA: Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus adalah suntikan yang tepat  untuk menyokong pertumbuhan ekonomi, mengurangkan kos pinjaman secara keseluruhan dan memberikan isyarat positif kepada sektor hartanah.

Pengurus Negara Malaysia PropertyGuru dan iProperty, Kenneth Soh berkata, penurunan kadar ini membuka peluang yang bermakna bukan sahaja untuk meringankan beban kewangan, tetapi juga untuk merangsangkan semula momentum pasaran yang telah membuktikan pemulihan stabil sepanjang tahun lalu.

“Menariknya, sejarah menyokong pandangan ini apabila Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas pada Mei 2019, transaksi hartanah kediaman meningkat dengan ketara. 

“Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), terdapat peningkatan 11.5 peratus suku ke suku daripada 47,727 unit pada suku kedua kepada 53,227 unit pada suku ketiga 2019, serta peningkatan 6.6 peratus tahun ke tahun. 

“Dasar sebegini mampu memberi impak sebenar dan positif terhadap aktiviti perumahan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata,kesan paling segera daripada penurunan OPR ini dirasai oleh pemilik rumah dan pembeli yang mempunyai pinjaman rumah berkadar terapung, yang kini akan menikmati pengurangan ansuran bulanan pinjaman mereka.

Beliau memberi contoh, sebuah rumah teres di Kuala Lumpur dengan harga RM865,000, iaitu harga median bagi rumah seumpama itu di ibu negara pada suku 2025 akan melibatkan bayaran balik bulanan sekitar RM3,627 berdasarkan kadar faedah purata 3.8 peratus untuk tempoh pinjaman 30 tahun dengan pembiayaan 90 peratus. 

“Dengan penurunan OPR dan pelarasan kadar pinjaman oleh pihak bank, bayaran bulanan boleh turun kira-kira 3.03 peratus, membawa kepada penjimatan keseluruhan sebanyak RM39,564 sepanjang tempoh pinjaman sekiranya kadar kekal stabil,” ujarnya.

Katanya, ini merupakan berita baik terutamanya bagi pembeli rumah kali pertama, di mana ramai di antara mereka menyatakan bahawa kadar faedah yang tinggi menjadi halangan utama untuk memiliki rumah. 

Kenneth berkata, OPR lebih rendah juga beri kesan rantai positif terhadap segmen lebihan bekalan,  terutamanya kondominium dan unit pasaran sekunder. 

“Dengan kemampuan yang lebih baik, pembeli mungkin mula menyerap stok sedia ada di pasaran sekunder, membantu menstabilkan harga dan mengelakkan kelembapan harga yang lebih teruk di kawasan yang sebelum ini terlebih bekalan.

“Dalam kawasan tumpuan seperti pinggir bandar utama, permintaan yang meningkat juga boleh mendorong pertumbuhan harga yang lebih rasional, didorong oleh keperluan sebenar berbanding spekulasi. 

“Aktiviti stabil sebegini adalah petanda positif bagi pasaran yang semakin matang dan responsif terhadap keadaan kewangan sebenar,” jelasnya.

Bagi pemaju pula, beliau berkata, langkah ini adalah peluang untuk mengaktifkan semula usaha jualan, terutamanya dalam segmen pertengahan dan mampu milik di mana permintaan dijangka paling responsif. 

“Sentimen pembeli yang bertambah baik dan keadaan pembiayaan yang lebih mesra mungkin mendorong peningkatan tempahan dan jualan, sekali gus menggalakkan pemaju melancarkan projek baharu secara berperingkat dengan insentif pembiayaan yang lebih menarik, selaras dengan keadaan pasaran semasa.

“Berdasarkan Kajian Sentimen Pengguna Malaysia Separuh Kedua 2024, 33 peratus responden merancang untuk membeli rumah dalam tempoh satu hingga dua tahun.

“Penurunan OPR ini mungkin menjadi isyarat yang dinanti-nantikan untuk mewujudkan persekitaran pinjaman yang lebih baik dan memperkukuh keyakinan mereka yang sebelum ini masih ragu-ragu,” tambahnya. – UTUSAN