The Reds sedia berbelanja besar dapatkan Isak

Sukan

LONDON: Liverpool bersedia untuk memecahkan rekod perpindahan mereka buat kali kedua musim panas ini apabila masa depan Alexander Isak di Newcastle semakin menjadi tanda tanya.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu membuat pembelian besar musim panas ini dengan menandatangani Florian Wirtz bernilai 116 juta pound (RM660 juta), mereka turut menambah seorang lagi pemain Bayer Leverkusen, Jeremie Frimpong dan pertahanan kiri Bournemouth, Milos Kerkez.

Namun, penambahan Isak akan mengatasi semuanya kerana ia memerlukan bayaran rekod baharu di Britain untuk mendapatkan penyerang antarabangsa Sweden itu, melebihi 125 juta pound (RM711 juta) tetapi niat Liverpool jelas, mereka akan bergerak jika menerima galakan.

Newcastle tetap bertegas bahawa Isak tidak untuk dijual dan mahu menambah baik kontraknya yang bernilai 120,000 pound (RM683,000) seminggu, satu tugas yang sepatutnya diselesaikan semasa pengarah bola sepak terdahulu, Paul Mitchell tetapi rundingan tergendala awal tahun ini dan tiada perkembangan sejak itu.

Isak kini bersama skuad Newcastle di Austria untuk kem latihan, dan kelab itu mahu memperkukuh barisan serangan mereka dengan membawa masuk Hugo Ekitike dari Eintracht Frankfurt.

Namun setakat ini, bidaan mereka jauh daripada jangkaan kelab Jerman itu kerana mereka mahukan 86 juta pound (RM489 juta) untuk penyerang Perancis bawah 21 itu.

Difahamkan, Newcastle membida 70 juta pound (RM398 juta) untuk Ekitike, seorang pemain yang turut menarik minat Liverpool namun struktur tawaran tersebut tidak menepati kehendak Frankfurt.

Ini merupakan jendela perpindahan yang mencabar buat Newcastle yang telah bersetuju untuk menjual Sean Longstaff kepada Leeds.

Selain Isak dan Ekitike, Liverpool turut membincangkan mengenai Ollie Watkins dari Aston Villa dan Yoane Wissa, penyerang bertenaga Brentford yang hampir menyertai Arsenal pada Januari lalu.

Ini merupakan tempoh yang sangat sibuk buat Liverpool apabila mereka baru sahaja menolak tawaran untuk Luis Diaz daripada Bayern Munich.

Kelab juara Jerman itu membuat tawaran 58.5 juta pound (RM333 juta) untuk pemain antarabangsa Colombia itu namun jumlah tersebut jauh lebih rendah daripada penilaian Liverpool sebanyak 86 juta pound (RM489 juta). – AGENSI