PETALING JAYA: Tiga beregu campuran negara diketuai pasangan No. 4 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melepasi halangan masing-masing di pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo, hari ini.
Gandingan No. 1 Malaysia itu mencatat kemenangan straight set ke atas beregu Kanada, Kevin Lee-Josephine Wu 21-15, 21-19 dalam masa 29 minit di Gimnasium Metropolitan, Tokyo.
Pada pusingan kedua, Tang Jie-Ee Wei yang diletakkan sebagai pilihan keempat dijangka berdepan sama ada gandingan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu atau Guo Xin Wa-Chen Fang Hui dari China, esok.
Turut mengiringi Tang Jie-Ee Wei ke peringkat 16 terbaik adalah beregu No. 6 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang menghuni ranking ke-13 dunia.
Pasangan suami isteri, Soon Huat-Shevon tidak berdepan masalah menyingkirkan Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat dari Thailand 21-15, 21-10 dalam masa 30 minit.
Pada peringkat seterusnya, gandingan profesional itu bakal berdepan sama ada wakil Singapura, Terry Hee-Jin Yu Jia atau Mads Vestergaard-Christine Busch dari Denmark.
Pang Ron-Su Yin pula dipaksa bekerja keras sebelum beroleh kemenangan ke atas beregu Amerika Syarikat, Presley Smith-Jennie Gai 21-19, 12-21, 21-16 dalam masa 50 minit.
Gandingan No. 3 Malaysia itu bakal berdepan laluan getir di pusingan kedua apabila dijadual menentang beregu No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China.
Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa satu lagi wakil Malaysia, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien yang tewas mudah di tangan beregu tuan rumah, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara 9-21, 8-21 dalam masa 28 minit. – UTUSAN