KUALA LUMPUR: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengekalkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) tahun ini kepada 780,000 unit, meskipun jualan kenderaan baharu mencatatkan penurunan sebanyak 4.6 peratus pada separuh pertama berbanding tempoh sama 2024.
Presidennya, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, walaupun pasaran menyederhana selepas mencatatkan rekod jualan tertinggi pada 2024, industri automotif masih menunjukkan daya tahan dengan prospek pertumbuhan lebih kukuh pada separuh kedua 2025.
“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, TIV yang dicatatkan sebanyak 373,636 unit berbanding 391,451 unit bagi tempoh sama tahun lalu, susut sebanyak 17,815 unit.
“Penurunan itu berpunca daripada kelemahan dalam segmen kenderaan pikap dan penumpang, masing-masing susut 18 peratus dan 7.0 peratus,” katanya kepada pemberita ketika membentangkan prestasi pengeluaran dan jualan kenderaan baharu Januari hingga Jun 2025 di sini hari ini.
Menurut beliau, antara penyumbang utama penurunan itu termasuk kesan asas tinggi tahun 2024, apabila pasaran mencatat TIV tahunan sebanyak 816,747 unit , angka tertinggi dalam sejarah industri.
“Pembelian awal yang agresif pada Disember 2024 sebanyak 81,735 unit turut menjejaskan momentum permintaan awal tahun, khususnya pada Januari 2025 yang hanya mencatatkan 50,397 unit, jauh lebih rendah berbanding Januari 2024 sebanyak 66,919 unit.
“Penarikan subsidi diesel bermula Jun 2024 turut menjejaskan jualan kenderaan komersial, yang menyusut 21 peratus pada separuh pertama 2025 berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Pada Jun 2025 sahaja, TIV merosot sebanyak 21 peratus berbanding bulan sebelumnya, dengan hanya 54,832 unit kenderaan didaftarkan berbanding 69,442 unit pada Mei.
Penurunan itu dipengaruhi oleh penutupan kilang selama seminggu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha serta bulan kerja yang lebih pendek iaitu hanya 19 hari.
Dari segi pengeluaran, jumlah keseluruhan pada Jun 2025 meningkat 4.0 peratys kepada 52,067 unit berbanding 49,920 unit pada Jun 2024.
Namun secara kumulatif bagi Januari hingga Jun, jumlah pengeluaran menurun 10.1 peratus kepada 352,626 unit berbanding 392,264 unit tahun lalu.
Walaupun berlaku penurunan, gabungan jenama nasional berjaya meningkatkan pegangan pasaran sebanyak 1.0 peratus kepada 63 peratus atau 235,961 unit dengan jumlah berkenaan hanya mencatat penyusutan 2.5 peratus berbanding separuh pertama 2024.
Bagaimanapun, jenama bukan nasional menyaksikan kemerosotan lebih ketara sebanyak 7.9 peratus kepada 137,675 unit berbanding 149,514 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.
MAA yakin pemulihan akan berlaku pada separuh kedua 2025, disokong oleh pertumbuhan ekonomi domestik yang dijangka berkembang antara 3.5 peratus hingga 4.5 peratus serta penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Mohd. Shamsor berkata, faktor itu dijangka mendorong perbelanjaan isi rumah termasuk pembelian kenderaan baharu.
Beliau turut menjangkakan rangsangan tambahan bakal datang daripada pelancaran model baharu sama ada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) mahupun elektrik (xEV) serta pertumbuhan dalam segmen A susulan penyasaran subsidi petrol pada separuh kedua tahun ini.
“Kemunculan model EV baharu dari jenama nasional dalam suku keempat tahun ini juga dijangka meningkatkan minat pengguna terhadap mobiliti elektrik,” katanya.
Justeru, MAA tetap optimis bahawa sasaran TIV 2025 sebanyak 780,000 unit masih boleh dicapai, meskipun lebih rendah 4.5 peratus berbanding pencapaian luar biasa tahun lalu.
Mohd. Shamsor berkata, MAA turut menjangkakan peningkatan semula TIV pada Julai 2025 berikutan bulan kerja penuh dengan 23 hari bekerja, sekali gus memberi lebih ruang kepada operasi pengeluaran dan jualan untuk pulih daripada penyusutan sementara bulan sebelumnya.
“Dengan pendekatan holistik, kerjasama industri dan sokongan dasar yang mampan, industri automotif negara berada pada landasan untuk berkembang secara progresif,” katanya. – UTUSAN