PETALING JAYA: Hasrat Harimau Malaya untuk menguji kekuatan menentang gergasi Asia, Iran serta tuan rumah Tajikistan dalam Piala Negara-Negara CAFA 2025 terpaksa dilupakan selepas pasukan kebangsaan menarik diri daripada kejohanan tersebut yang dijadual berlangsung dari 26 Ogos hingga 9 September ini.
Penarikan diri itu dibuat atas beberapa faktor utama, termasuk isu logistik yang sukar, penganjuran kejohanan di luar kalendar rasmi FIFA dan kesukaran untuk menghimpunkan skuad terbaik negara, khususnya pemain yang beraksi di luar negara seperti di Sepanyol, Argentina dan Colombia.
Ketua jurulatih negara, Peter Cklamovski menyifatkan keputusan ini sebagai satu kekecewaan besar memandangkan pasukan begitu teruja untuk turun beraksi.
Menurutnya, peluang menentang pasukan seperti Iran dan Tajikistan amat berharga dalam memperkasakan kekuatan skuad kebangsaan.
Beliau menjelaskan pihaknya telah mencadangkan agar Harimau Malaya hanya beraksi dalam tempoh kalendar FIFA, namun cadangan itu tidak dapat direalisasikan kerana kekangan logistik selepas undian kumpulan dijalankan.
“Satu perkembangan yang mengecewakan apabila kita sebagai pasukan kebangsaan membuat keputusan menarik diri daripada Piala CAFA 2025. Kami sememangnya bercita-cita tinggi untuk bersaing pada kejohanan itu.
“Kami mencari kemungkinan untuk beraksi pada kalendar FIFA seperti yang dicadangkan tetapi ini bermakna operasi logistik akan menjadi bertambah sukar terutamanya selepas undian sudah dijalankan,” kata Cklamovksi ketika ditemui pada perjumpaan khas bersama media, kelmarin.
Justeru, tanpa kehadiran pemain utama, penyertaan dianggap tidak lagi membawa makna sebenar.
Cklamovski menegaskan, beliau tidak mahu menyertai kejohanan sekadar memenuhi jadual sebaliknya mahu skuad negara benar-benar bersedia dan bersaing untuk menang.
“Saya juga mahu ke sana dengan kekuatan penuh kerana kami ke sana untuk memenangi Piala CAFA 2025. Kita perlu menghormati pasukan kerana kita ada pemain yang beraksi di Sepanyol, Colombia dan juga Argentina.
“Jadi sukar untuk kita mendapatkan pemain ini. Saya fikir ini satu keputusan yang wajar untuk menarik diri,” tegasnya.
Keputusan itu mungkin mengecewakan penyokong setia, namun beliau menegaskan fokus utama kini adalah persiapan lebih besar menjelang kempen kelayakan Piala Asia 2027 dan Piala Dunia 2030.-UTUSAN