Pearly-Thinaah, Wei Chong-Kai Wun ke pusingan kedua

Sukan

PETALING JAYA: Nasib berbeza mengiringi dua beregu utama Malaysia selepas Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan kemaraan, tetapi, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bungkus seawal peringkat 32 terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo, Jepun, hari ini.

Pasangan No. 3 dunia, Pearly-Thinaah tidak berdepan masalah untuk mengetepikan cabaran beregu adik beradik dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-16, 21-14 dalam masa 31 minit di Gimnasium Metropolitan Tokyo.

Kemenangan itu menyaksikan Pearly-Thinaah melebarkan rekod pertemuan ke atas pasangan ke-16 dunia tersebut kepada 3-1.

Menanti gandingan No. 3 dunia itu di peringkat 16 terbaik adalah pasangan No. 12 dunia, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu dari Taiwan yang menewaskan wakil Amerika Syarikat, Francesca Corbett-Jennie Gai 21-18, 21-14 dalam masa 37 minit.

Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki yang menyaksikan pertembungan sesama sendiri berkesudahan pasangan No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dikejutkan beregu ke-30 dunia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 15-21, 15-21 dalam masa 30 minit.

Kekalahan tersebut membuka laluan buat beregu profesional, Yew Sin-Ee Yi merapatkan jurang kekalahan kepada 3-6 dalam rekod pertemuan kedua-dua pasangan Malaysia itu.

Pada pusingan kedua, Yew Sin-Ee Yi dijangka berdepan sama ada beregu tuan rumah, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura atau Chen Zhi Yi-Presley Smith dari Amerika Syarikat.

Dalam satu lagi aksi beregu lelaki yang turut menemukan dua pasangan negara berakhir dengan kemenangan oleh Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang mengalahkan Arif Junaidi-Yap Roy King 30–28, 21-12 dalam masa 42 minit.

Di peringkat seterusnya, beregu No. 7 dunia itu bakal bertemu gandingan China, Huang Di-Liu Yang yang menghuni ranking ke-22 dunia. – UTUSAN