Enam syarikat tempatan teroka peluang pelaburan di Zambia

Perniagaan

PETALING JAYA: Enam syarikat tempatan meneroka peluang pelaburan di Zambia dan Persidangan Antarabangsa ‘Labur di Zambia’ dalam misi perdagangan ke negara itu selama lima hari bermula 14 Julai lalu.

Menerusi lawatan tersebut, delegasi negara yang diselaras oleh My Events International mengadakan siri pertemuan berprofil tinggi, lawatan tapak dan sesi jaringan bersama pegawai kerajaan Zambia, pemimpin industri dan rakan kongsi tempatan yang berpotensi.

“Fokus utama ialah mengenal pasti bidang kerjasama dan pelaburan yang sejajar dengan keutamaan pembangunan Zambia dan kekuatan ekonomi Malaysia.

“Usaha kerjasama itu mencerminkan komitmen memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara Zambia dan Malaysia, serta membuka laluan kepada kerjasama ekonomi dan pembangunan yang lebih meluas di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, misi perdagangan itu disokong oleh Kedutaan Zambia di Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kedutaan Malaysia di Zimbabwe, dan Agensi Pembangunan Zambia.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan, Perindustrian dan Komersial Zambia, Lilian Bwalya berkata, beliau optimis dengan misi tersebut sebagai salah satu komponen utama persidangan berkenaan.

“Invest in Zambia adalah satu inisiatif menampilkan potensi ekonomi Zambia bagi menarik pelaburan langsung asing. Kami amat berbesar hati menyambut delegasi yang dari Malaysia,” ujarnya.

Duta Besar Zambia ke Malaysia, Morecome Mumba menambah, misi tersebut juga membuka peluang pelaburan dalam sektor pelancongan selain pembangunan industri.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Agensi Pembangunan Zambia, Albert Halwampa menyatakan negaranya menawarkan persekitaran pelaburan yang stabil dan menarik, dengan peluang besar dalam pelbagai sektor.

“Ia termasuk perlombongan, pertanian, tenaga dan pelancongan. Saya percaya misi itu akan mengukuhkan hubungan ekonomi serta mewujudkan kerjasama yang saling menguntungkan antara kedua-dua negara,” katanya. – UTUSAN