CAFA kecewa Malaysia tarik diri saat akhir

Sukan

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) meluahkan rasa kecewa susulan keputusan mengejut Malaysia menarik diri daripada kejohanan Piala Negara-Negara CAFA 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 29 Ogos hingga 8 September ini.

Pengumuman rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) petang tadi mengesahkan penarikan diri skuad Harimau Malaya atas beberapa faktor penting, terutamanya kerana kejohanan itu dijadualkan berlangsung di luar kalendar rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Keadaan ini menyebabkan skuad negara berdepan cabaran besar, termasuk kesukaran mendapatkan pelepasan pemain dari kelab masing-masing memandangkan tiada obligasi untuk melepaskan mereka.

Bagaimanapun, tindakan di saat akhir itu nyata tidak disenangi pihak CAFA yang menyatakan bahawa penyertaan Malaysia telah disahkan lebih awal, malah tarikh kejohanan iaitu dari 29 Ogos hingga 8 September ini telah dimaklumkan sejak awal tanpa sebarang perubahan.

“Malangnya, penarikan diri pada peringkat akhir ini menjejaskan pelbagai aspek persiapan kejohanan, lebih-lebih lagi apabila perancangan sudah sampai ke fasa akhir,” kata CAFA dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial mereka.

Menurut CAFA, pihak mereka dimaklumkan FAM mengenai kekangan yang timbul berikutan kejohanan ini berlangsung di luar kalendar FIFA dan kemungkinan pemain utama sukar dilepaskan kelab.

Namun, CAFA menegaskan bahawa sistem pendaftaran pemain dalam kejohanan itu adalah fleksibel, membenarkan senarai akhir dipilih daripada 35 pemain yang berdaftar sekali gus membuka ruang untuk skuad kebangsaan mengatur strategi terbaik, termasuk membawa masuk tonggak utama untuk perlawanan-perlawanan tertentu.

Walaupun kecewa dengan keputusan Malaysia, CAFA tetap berpegang kepada komitmen untuk menganjurkan kejohanan berprestij dan kompetitif bagi rantau Asia Tengah.

“CAFA akan terus bergerak ke hadapan dengan semangat positif dan mengucapkan terima kasih kepada semua negara yang kekal menyokong serta menjayakan kejohanan ini,” katanya.— UTUSAN