Trip.com perkukuh operasi, catat pertumbuhan dua digit

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Trip.com, platform pelancongan digital global terkemuka, memperkukuh operasinya di Malaysia dengan mencatat pertumbuhan dua digit setakat Jun 2025 bagi tempahan perjalanan domestik dan antarabangsa, menandakan komitmen jangka panjang syarikat terhadap pasaran tempatan.

Langkah itu dilaksanakan susulan prestasi kukuh Trip.com di Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dalam tempahan domestik, keluar (outbound) dan masuk (inbound), selain didorong oleh persekitaran pelaburan digital negara yang kondusif.

Pengarah Urusan dan Naib Presiden Pasaran Antarabangsa di Trip.com Group, Boon Sian Chai berkata,  jenama itu mencatatkan pertumbuhan dua angka di Malaysia dengan peningkatan ketara bagi tempahan domestik, ke luar negara (outbound) dan ke dalam negara (inbound).

“Malaysia mencatatkan pertumbuhan 35 peratus tahun ke tahun bagi pelancongan domestik, 45 peratus bagi outbound dan 38 peratus untuk inbound setakat ini. 

“Ini menunjukkan pasaran Malaysia sangat aktif dan penting untuk kami,” katanya dalam sesi temubual bersama Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Beliau berkata, pemilihan Malaysia bukan sahaja dipacu oleh kedudukan geografi yang strategik, malah turut disokong oleh kadar celik digital rakyat tempatan yang tinggi serta ekosistem pelaburan yang mesra teknologi.

“Kerajaan Malaysia aktif mempromosikan pelaburan dalam sektor teknologi, dan dengan kewujudan kawasan seperti Cyberjaya dan Putrajaya, kami melihat Malaysia sebagai destinasi sesuai untuk pembangunan pusat sokongan serantau,” ujarnya.

Selain memperkukuh operasi pelanggan, Trip.com turut menggiatkan kerjasama dengan agensi pelancongan tempatan termasuk Tourism Malaysia dan Resorts World Genting bagi memperluas rangkaian produk seperti hotel, taman tema dan aktiviti tarikan pelancong.

Baru-baru ini, Trip.com Group telah menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan Resorts World Genting (RWG) bagi mengukuhkan kerjasama strategik untuk merancakkan sektor pelancongan antarabangsa.

Dalam pada itu, bagi menyokong perkembangan pelancongan halal dan lestari, Trip.com kini mempunyai penandaan hotel mesra Muslim dalam aplikasi mereka untuk pengguna Malaysia, Indonesia dan Asia Barat. 

Menurutnya, penandaan ini membolehkan pengguna mencari penginapan yang memenuhi keperluan mereka dengan lebih mudah dan efisien. 

“Berdasarkan cerapan data lanjutan, Trip.com dapat memberikan cadangan yang lebih relevan serta maklumat menyeluruh kepada pelancong Muslim. 

“Fungsi ‘mesra Muslim’ ini dilancarkan tahun lalu dan akan terus dipertingkatkan dalam bulan-bulan akan datang bagi menawarkan pengalaman yang lebih lancar dan diperibadikan kepada pengguna. 

“Kami juga mempunyai dua teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) iaitu TripGenie, pembantu digital pelancongan, dan Trip.Best, senarai cadangan hotel dan tarikan berdasarkan ulasan pengguna global.

“Kami mahu cipta satu ekosistem pelancongan digital yang menyeluruh, bukan sekadar transaksi. Pengguna boleh melihat video, ulasan, berkongsi pengalaman dan mendapat cadangan pintar melalui AI,” katanya. – UTUSAN