PETALING JAYA: Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) terus memacu inovasi dalam sektor pemakanan sukan dengan memperkenalkan aminoVITAL Red Shot, minuman jeli berasaskan asid amino No.1 dari Jepun yang diformulasi khas untuk menyokong gaya hidup aktif dan sihat.
Produk baharu itu mengandungi gabungan Asid Amino Rantaian Bercabang (BCAA) dan Arginina, dirumus secara saintifik bagi menambah tenaga, meningkatkan daya tahan otot dan mempercepatkan pemulihan selepas aktiviti fizikal yang lasak.
AMB berkata, disokong oleh lebih 30 tahun kepakaran Pasukan Sains Sukan R&D Kumpulan Ajinomoto, setiap pek bersaiz 45 gram menawarkan anggaran 1,500 miligram (mg) asid amino, termasuk 700 mg BCAA dan Arginina, serta membekalkan tenaga segera sebanyak 114 kilocalorie (kcal).
“Ia sesuai untuk atlet dan individu aktif yang terlibat dalam aktiviti seperti maraton, larian denai, berbasikal, triatlon, renang, dan sukan lasak lain.
“Dengan tekstur jeli berperisa epal dan pembungkusan yang praktikal, produk ini boleh diambil secara terus tanpa bancuhan atau air serta diserap dalam tempoh 30 minit.
“Ini menjadikannya pilihan ideal bagi tenaga pantas ketika dalam perjalanan,” katanya dalam kenyataan.
AMB berkata, aminoVITAL Red Shot merupakan satu-satunya minuman jeli asid amino yang terdapat di Malaysia dan telah menerima pengiktirafan halal daripada Central Islamic Council of Thailand (CICOT) iaitu badan pensijilan yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Produk ini boleh didapati melalui pelbagai saluran termasuk platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok Shop, laman web Smart Cooking, rangkaian farmasi seperti Alpro dan Eureka serta kedai khusus seperti Y-Sandals, BigBigPlace, Butik Pato, dan Key Power Sports.
“Pelancaran produk baharu ini selaras dengan komitmen berterusan AMB untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia melalui penyelesaian makanan dan kesihatan pintar,” ujarnya. – UTUSAN