BARCELONA: Baru tiga hari menyambut ulang tahun ke-18, Lamine Yamal menerima hadiah paling bermakna dalam kariernya iaitu jersi ikonik No.10 Barcelona.
Jersi bersejarah itu pernah disarung legenda seperti Lionel Messi, Diego Maradona dan Ronaldinho, namun Yamal berjanji akan meneruskan legasi gemilang itu dengan penuh tanggungjawab.
“Saya akan cuba teruskan legasi ini. aya tak gentar dengan sejarah nombor ini, malah saya anggap ia sebagai cabaran untuk saya terus berkembang,” kata Yamal.
Sejak melakukan debut pada usia 15 tahun pada 2023, pemain sayap lincah itu telah membuat lebih 100 penampilan, menjaringkan 25 gol dan membantu Barcelona merangkul dua kejuaraan La Liga.
Yamal turut menjulang trofi Euro 2024 bersama Sepanyol sehari selepas ulang tahun ke-17, menjadikannya antara bakat paling bernilai dan berpengaruh di sayap kanan Barcelona ketika ini.
Pemain itu juga antara calon utama Ballon d’Or selepas membantu Barca menjuarai treble domestik musim lalu termasuk La Liga, Copa del Rey dan Piala Super Sepanyol.
“Kami takkan berhenti sehingga kembalikan Barcelona ke tempat sepatutnya, iaitu di puncak tertinggi.
“Musim baharu ini kami akan bangkit dengan lebih kuat dan sasarkan kejuaraan Eropah pula,” katanya.
Lulusan akademi La Masia itu terus mencipta sejarah, termasuk menjadi penjaring termuda La Liga, pemain termuda dalam kesebelasan utama Liga Juara-Juara dan penjaring termuda dalam El Clasico.
Yamal yang memiliki kemahiran menggelecek, kepantasan dan kreativiti menyerang kini lebih tajam dengan enam gol dalam sembilan perlawanan terakhir bersama kelab dan negara.
Walaupun enggan dibandingkan dengan Messi, gaya permainan Yamal yang gemar memotong dari kanan ke kiri menggunakan kaki kiri mengundang perbandingan legenda Argentina itu.
“Mereka ada laluan mereka, saya ada jalan saya. Saya tidak bandingkan diri saya dengan sesiapa, apatah lagi dengan Messi,” katanya. -AGENSI