Pearly-Thinaah iringi empat beregu lelaki ke suku akhir

Sukan

PETALING JAYA: Pasangan wanita No. 1 Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah iringi empat beregu lelaki negara ke suku akhir selepas menyingkirkan lawan masing-masing di peringkat 16 terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo, Jepun, hari ini.

Pearly-Thinaah yang menghuni ranking No. 3 dunia itu menewaskan gandingan ke-12 duniaoeapearl, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu dari Taiwan 21-14, 21-16 dalam masa 36 minit.

Pada suku akhir, esok, mereka bakal berdepan cabaran lebih sukar apabila dijadual bertemu Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo dari Korea Selatan.

Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, pasangan No. 1 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mengetepikan cabaran wakil tuan rumah, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita 21-19, 21-18 dalam masa 38 minit.

Beregu pecah ganding Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri menanti Sze Fei-Izzuddin di peringkat lapan terbaik, esok.

Turut mara ke suku akhir, beregu No. 7 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang diberi tentangan sengit sebelum menang ke atas gandingan China, Huang Di-Liu Yang 21-19, 14-21, 22-20 dalam masa 1 jam 6 minit.

Untuk mencari slot ke separuh akhir, Wei Chong-Kai Wun perlu mengharungi laluan yang cukup getir bertemu dengan pasangan handalan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae di peringkat lapan terbaik.

Dua lagi beregu profesional Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong turut beraksi cemerlang untuk mara ke suku akhir.

Yew Sin-Ee Yi mengambil masa selama 55 minit sebelum beroleh kemenangan ke atas beregu Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith 19-21, 21-14, 21-19 dan beregu No. 6 dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang menanti mereka di pusingan seterusnya.

Nur Mohd Azryn-Wee Kiong pula mencipta kejutan ke atas gandingan No. 4 dunia, Kim Astrup-Anders Rasmussen dari Denmark 21-16, 15-21, 21-19 dalam masa 1 jam 3 minit.

Beregu No. 26 dunia itu buat kali pertama mara ke suku akhir, musim ini dan akan bertemu pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han. – UTUSAN