RAWANG: Sebanyak 14 negara termasuk lapan negara ASEAN mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Golf Wanita Amatur Terbuka Malaysia Edisi ke-39 yang dijadual berlangsung dari 28 hingga 31 Julai ini, sempena Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini.
Presiden Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA), Tunku Puteri Datuk Seri Jawahir Tuanku Ja’afar berkata, kejohanan itu bakal menyaksikan penyertaan dari Brunei, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
“Negara luar ASEAN yang turut mengambil bahagian ialah China, Taiwan, Hong Kong, India, Pakistan dan Korea Selatan,” katanya pada sidang akhbar.
Beliau berkata, kejohanan kali ini tampil dengan pendekatan baharu yang bukan sahaja memfokuskan pembangunan bakat muda, malah bertujuan melonjakkan reputasi Malaysia sebagai destinasi sukan antarabangsa.
“Matlamat penganjuran kali ini adalah untuk meningkatkan tahap permainan atlet wanita di rantau ini, membuka peluang pendedahan antarabangsa kepada pemain muda serta menggalakkan pelancongan sukan di Malaysia dan negara serantau.
“Selain itu, kejohanan ini turut menjadi platform mengeratkan hubungan serantau menerusi sukan serta menyemai semangat perpaduan dan pertukaran budaya,” katanya.
Malaysia akan diwakili beberapa pemain muda berbakat seperti Wang Xin Yao, Pang Hee Jie dan Foong Zi Xuan.
Sebanyak empat kategori dipertandingkan dalam kejohanan tersebut yang menawarkan trofi masing-masing iaitu Trofi Tunku Ampuan Negeri Sembilan (kategori terbuka), Trofi Tunku Tun Maimunah (kategori mid-amatur), Trofi Maria Musa (kategori senior) dan Trofi Mary Williams (kategori berpasukan).-UTUSAN