PETALING JAYA: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan menyenaraikan pelumba ke Sukan SEA Thailand 2025 berdasarkan prestasi dan data semasa.
Setiausaha Agung PKBM, Ahmad Arif Astaman berkata, pemilihan pelumba malah dibuat secara telus dan profesional seperti yang digariskan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
“Kami tahu apa yang telah dikatakan Ketua Pengarah MSN (Majlis Sukan Negara), tapi kami akan pilih berdasarkan prestasi semasa, ranking dan kesesuaian dengan laluan perlumbaan nanti.
“Kalau semua yang layak datang daripada satu pasukan, itu rezeki mereka. Tapi kami takkan katakan hanya pelumba TSG (Terengganu Cycling Team) saja yang akan pergi. Kalau buat begitu, itu seperti menembak kaki sendiri,” kata Arif kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin mengarahkan PKBM memilih sama ada TSG atau Malaysia Pro Cycling (MPC) sahaja, walaupun dua edisi terakhir temasya dwitahunan itu membuktikan gabungan kedua-dua pasukan membuahkan emas menerusi Nur Aiman Mohd Zariff dan Nur Amirul Fakhruddin Mazuki.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, isu dana kekal menjadi batu penghalang selepas MSN menolak permintaan peruntukan tambahan walaupun MPC memerlukan basikal ujian masa baharu bernilai kira-kira RM80,000 seunit untuk memberi saingan setara dengan Thailand dan Filipina.
PKBM kini berada dalam dilema tiga penjuru iaitu ditekan MSN dari atas, ditegur MPC dari bawah dan perlu memenuhi tanggungjawab menghantar pasukan yang mampu mempertahankan pingat emas di Thailand Disember nanti.
Bagaimanapun, Arif mendedahkan bahawa perbincangan bersama Pengarah Teknikal PKBM, John Beasley akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkenalkan pendekatan pemilihan lebih saintifik dan berasaskan prestasi.
“Kita akan guna penilaian jurulatih, data Institut Sukan Negara (ISN) dan model baharu berdasarkan prestasi. Itu saja caranya untuk pastikan keadilan dan kecemerlangan,” katanya.
Untuk rekod, daripada peruntukan RM300,000 yang dikatakan sudah disalur kepada PKBM sejak awal tahun, hanya RM196,000 yang masih berbaki selepas digunakan untuk menghantar pasukan ke Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2025 di Thailand.