Pestabola Merdeka dianjurkan semula?

Sukan

PETALING JAYA: Penarikan diri Harimau Malaya daripada Piala Negara-Negara Asia Tengah (CAFA) 2025 membuka semula perbincangan mengenai kemungkinan penganjuran Pestabola Merdeka, bagi mengisi kekosongan jadual antarabangsa pada jendela FIFA pada September depan.

Penarikan diri itu bermakna tiada sebarang aksi antarabangsa rasmi buat Malaysia pada bulan tersebut, sekali gus menyaksikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mencari penyelesaian sama ada menerusi aksi persahabatan berkualiti Tier 1 atau menganjurkan kejohanan sendiri.

Ketua jurulatih negara, Peter Cklamovski, turut mengakui bahawa Harimau Malaya amat memerlukan aksi kompetitif sebelum menyambung kempen kelayakan Piala Asia 2027 yang pada Oktober dan November depan.

“Saya tidak menolak idea untuk (kembalikan Pestabola Merdeka), itu salah satu pilihan. Tetapi yang lebih penting adalah siapa lawan kita nanti.

“Fokus utama kami adalah untuk memanfaatkan sepenuhnya jendela FIFA pada September, kerana itu bakal menjadi fasa persiapan terakhir sebelum aksi penting menentang Laos dan Nepal kelak,” kata Cklamovski.

FAM sebelum ini tidak merancang untuk menganjurkan Pestabola Merdeka tahun ini susulan penglibatan skuad kebangsaan dalam CAFA 2025.

Dengan keputusan menarik diri, senario semasa dilihat membuka peluang untuk kejohanan berprestij itu kembali dipertimbangkan.

Untuk rekod, pada edisi Pestabola Merdeka 2024, Harimau Malaya muncul juara selepas menewaskan Lubnan 1-0 dalam perlawanan akhir, menebus kegagalan mereka di pentas final edisi 2023 menentang Tajikistan.

Malaysia dijadualkan meneruskan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dengan dua perlawanan penting menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober, diikuti aksi bertemu Nepal pada 18 November, sebelum menutup tirai peringkat kumpulan berdepan Vietnam pada 31 Mac 2026.

Penganjuran Pestabola Merdeka bukan sekadar mengisi kekosongan jadual, tetapi juga boleh menjadi medan terbaik untuk membina momentum dan menyatukan semangat penyokong menjelang tempoh kritikal kempen kelayakan.-UTUSAN