Muhyiddin dakwa PN ada pengalaman tadbir negara lebih baik

Politik

ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk menggantikan kerajaan sedia ada kerana mendakwa mempunyai rekod dan pengalaman yang lebih baik sewaktu mentadbir negara ketika era pandemik Covid-19 lalu.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN akan menghapuskan amalan-amalan yang dilakukan Kerajaan Perpaduan hari ini sekiranya berjaya mengambil alih pentadbiran negara kelak.

Kata beliau, kerajaan baharu yang akan menggantikan kerajaan sedia ada sudah tentu akan menyediakan kerangka dasar yang lebih baik terutama berkaitan soal kebajikan rakyat.

“Orang bertanya kalau (Datuk Seri) Anwar Ibrahim letak jawatan siapa kerajaan yang akan memimpin negara? Agaknya siapa? Susah nak jawab? Tak mengapa.

“Tapi ada persoalan berbangkit kalau kerajaan hari ini begitu teruk kononnya, dia kata dia tak nampak lagi parti lain ada agenda yang boleh ganti kerajaan yang ada. (Jawabnya) tak akan kerajaan yang nak ganti itu sama taraf dan martabat seperti kerajaan Madani tak munasabah, mesti lebih baik,” katanya.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Himpunan Mandat Negarawan yang dihadiri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pemimpin utama pembangkang di sini, malam tadi.

Muhyiddin turut mendakwa PN memiliki formula yang lebih berkesan terhadap pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang mana perkara itu akan dijadikan manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.

“SST itu jangan buat macam itu, saya sudah ada formula macam mana, bukan saya Rafizi (Datuk Seri Rafizi Ramli) tapi macam mana nak selesaikan masalah-masalah begitu kita ada cara dan kebijaksanaan kita sendiri.

“Apa lagi kalau sampai pilihan raya kita sediakan manifesto macam mana nak mengatasi masalah ekonomi negara, macam mana nak pulih ekonomi, macam mana nak sedia peluang kerja yang lebih banyak dan macam mana nak menambahkan pendapatan rakyat. Bukan kita janji tetapi terbukti kita akan laksanakan macam yang kita buat di waktu Covid-19 dahulu, insha-Allah,” katanya.

Tambah beliau, pengurusan ekonomi dan kewangan negara sekarang sepatutnya lebih baik serta cekap disebabkan tiada lagi pandemik Covid-19 yang menyebabkan banyak sekatan terpaksa dilakukan dahulu demi menjamin keselamatan rakyat. – UTUSAN