Nick Adams: Ia masih terlalu awal untuk buat keputusan

Politik

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan terburu-buru dalam memberi pertimbangan bagi menerima pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia (keputusan menerima pelantikan itu) masih terlalu awal dan tentunya akan memberikan pertimbangan.

Pada masa sama, katanya, hubungan yang baik antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) juga perlu dijaga.

“Soal Nick Adams itu kita ikut proses. Ia masih terlalu awal dan kerajaan tentunya akan memberikan pertimbangan. 

“Dan pada masa sama menjaga hubungan yang baik antara Malaysia dan AS,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Al-Istiqlal, Presint 14, di sini hari ini.

Sebelum ini, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Malaysia berhak menerima atau menolak mana-mana calon yang diusulkan sebagai perwakilan negara asing ke negara ini, susulan bantahan pelbagai pihak terhadap pelantikan Nick Adams itu.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, secara diplomasi, sebagai negara tuan rumah, sesebuah kerajaan perlu menerima pelantikan yang diusulkan oleh negara asal.

Pengumuman Presiden Donald Trump sebelum ini mengenai pencalonan Adams yang juga pengulas konservatif dan penulis mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk ahli politik negara ini.

Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump menyifatkan Adams sebagai seorang nasionalis luar biasa serta usahawan yang sangat berjaya, sambil memuji komitmennya terhadap apa yang digelarnya sebagai ‘Nilai Keunggulan Amerika’.

Sebelum ini, pelbagai pihak menyatakan bantahan terhadap pencalonan Adams sebagai Duta Besar AS ke Malaysia.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, turut berkongsi pendirian sama supaya kerajaan menolak pelantikan Adams.

Menerusi perkongsian di akaun media sosialnya, Khairy turut membangkitkan Artikel 4 Konvensyen Vienna yang membenarkan negara untuk menolak duta yang dilantik. – UTUSAN