Malakoff, Alam Flora raih pengiktirafan ESG dan kelestarian

Perniagaan

PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) dan anak syarikatnya, Alam Flora Sdn. Bhd. meraih pengiktirafan di Anugerah Kelestarian & CSR Malaysia 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur, semalam.

Malakoff dinobatkan sebagai Syarikat Terbaik (Penjanaan Tenaga) di bawah kategori Anugerah Juara ESG serta menerima Anugerah Kecemerlangan Berterusan, manakala Alam Flora menerima pengiktirafan Syarikat Terbaik (Pengurusan Sisa) menerusi kategori Anugerah Kecemerlangan Ekologi dan turut meraih Anugerah Kecemerlangan Berterusan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib, pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen syarikat terhadap kelestarian, selain menegaskan nilai teras yang menjadi asas operasi kumpulan.

“Kami amat berbesar hati menerima anugerah ini yang mengiktiraf usaha berterusan dalam memperkasa komuniti dan memacu agenda kelestarian melalui inisiatif bersasar dan berimpak. 

“Sepanjang 2024, kami telah melaksanakan pelbagai program termasuk inisiatif ‘Jom ke Sekolah’ di Mukim Serkat, Johor bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan memulakan sesi persekolahan dengan keyakinan,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, beliau berkata, Alam Flora turut menganjurkan lebih 100 program kesedaran alam sekitar melibatkan lebih 2,300 peserta dan mengumpul 7,026.7 tan bahan kitar semula. 

“Kakitangan Alam Flora juga telah mencapai kadar kitar semula sebanyak 21.1 peratus, melepasi sasaran dalaman kami bagi 2025 iaitu antara 15 hingga 20 peratus dan melaksanakan inisiatif berimpak seperti Agihan Tong Sampah Bergerak.

“Inisiatif ini menyaksikan lebih 4,100 unit diedarkan di seluruh Kuala Lumpur bagi meningkatkan kemudahan pengurusan sisa serta Karnival Hari Kitar Semula Putrajaya yang menghimpunkan agensi-agensi kerajaan untuk menggalakkan tindakan alam sekitar secara menyeluruh,” katanya. 

Anwar Syahrin berkata, pendekatan kolaboratif bersama pemegang taruh strategik akan terus diperkukuh seiring sasaran jangka panjang syarikat yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG PBB).

“Bagi kami, kelestarian bukan sekadar matlamat, ia adalah tanggungjawab yang digalas demi membina komuniti lebih mampan dan berdaya tahan,” ujarnya. 

Pengiktirafan itu juga dilihat signifikan bersempena ulang tahun ke-50 penubuhan Malakoff, menandakan lima dekad pertumbuhan, daya tahan dan penciptaan nilai yang konsisten kepada ekonomi dan komuniti. – UTUSAN