ALOR SETAR: Pas mengingatkan masyarakat agar memainkan peranan dalam mencegah kemungkaran yang berlaku pada pentadbiran negara dengan mengajak rakyat menyertai Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tanggungjawab itu perlu dimainkan secara bersama bagi memastikan negara ditadbir dengan baik.
Katanya, rakyat tidak patut menyokong pemimpin yang menipu mereka demi mendapatkan harta dan kuasa, serta meminta rakyat memilih pemimpin yang benar-benar amanah kerana Allah yang menentukan siapa yang bakal menjadi pemimpin.
“Allah yang menentukan siapa jadi pemimpin, rakyat pula memilih untuk siapa bakal jadi pemimpin.
“Kita sahut tanggungjawab besar untuk mencegah kemungkaran ini, kerana jika kita diam bencana akan turun. Ini kewajipan besar untuk kita semua,” katanya ketika berucap pada Himpunan Mandat Negarawan di sini, malam tadi.
Menurut beliau, pemimpin adalah amanah terbesar dalam Islam yang bukan semata-mata menjaga wang, tetapi memimpin negara dengan adil dan berlandaskan ilmu seperti yang ditekankan dalam al-Quran dan sunnah.
“Amanah mengandungi semua tanggungjawab, paling besar adalah pemimpin dan menerajui negara. Bila urusan umat, rakyat dan urusan negara diserah kepada orang-orang yang tidak adil, kita berdepan masalah, ada rakyat yang sabar, ada yang tidak sabar.
“Disebutkan dalam al-Quran, antara yang tidak layak menjadi pemimpin ialah mereka yang bergantung kepada duit, bukan kepada ilmu, yang menipu dan meminta kehormatan serta kedudukan,” katanya.
Abdul Hadi berkata, apabila berlaku krisis ekonomi, penyelesaiannya bukan dengan meminta pinjaman daripada Bank Dunia semata-mata, tetapi menggunakan aset dalam negara dan ilmu dimiliki pakar ekonomi tempatan. – UTUSAN