Enproserve Group tampil 26 sen sesaham di Pasaran Ace

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Enproserve Group Bhd (Enproserve) membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities dengan harga pembukaan 26 sen sesaham, lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 24 sen sesaham.

Saham penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan awam untuk industri minyak & gas (O&G) serta petrokimia itu meningkat setinggi 30.5 sen pada pukul 9.07 dengan lebih 34 juta saham bertukar tangan.

Pengarah Urusan Kumpulan, Azman Yusof berkata, pihaknya tidak menjangkakan harga saham akan meningkat memandangkan sentimen pasaran semasa.

“Sebenarnya, kami tidak menjangkakan harga akan meningkat memandangkan keadaan pasaran semasa. Namun, kami tetap berharap ia terus naik. Ini jelas menunjukkan keyakinan pelabur terhadap apa yang kami lakukan,” katanya pada sidang media selepas penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia hari ini.

Enproserve berjaya meraih 50.4 juta dan akan memperuntukkan RM23.7 juta untuk perbelanjaan modal, termasuk pembelian peralatan angkat berat baharu bagi kegunaan operasi dan sewaan luaran, serta pembinaan sebuah depot kren baharu.

Sebahagian daripada dana itu juga akan digunakan untuk meningkatkan kapasiti perkhidmatan penyelenggaraan loji dan turnaround (PMT) serta kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), manakala baki dana akan diperuntukkan bagi modal kerja, pengurangan pinjaman bank dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

Mengulas mengenai perancangan selepas penyenaraian, Azman berkata, kumpulan akan meneruskan model perniagaan sedia ada kerana percaya kepada pertumbuhan organik buat masa ini.

“Kami yakin dapat mencapai sasaran untuk dua tahun akan datang. PMT adalah sangat penting bagi kami dan dengan kontrak sedia ada, kami mampu bertahan sekurang-kurangnya dua tahun lagi.

“Kami juga memberi tumpuan kepada segmen projek EPCC dan perkhidmatan peralatan angkat berat yang merupakan dua segmen baru sedang kami terokai,” katanya.

Ketika ditenya berkaitan perancangan pengembangan operasi, beliau berkata, kumpulan ketika ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada operasi di Semenanjung Malaysia, khususnya bagi persediaan kerja turnaround yang dijadualkan pada 2027.

“Buat masa ini, kami akan fokus di Semenanjung Malaysia dan tiada rancangan untuk berkembang ke kawasan lain, tetapi jika ada peluang dan rakan kongsi yang sesuai, kami tidak menolak untuk mempertimbangkan pengembangan ke Sabah atau Sarawak,” jelasnya.

Tambah beliau, operasi di Semenanjung Malaysia sendiri sudah cukup untuk memastikan kumpulan kekal sibuk sekurang-kurangnya untuk dua hingga tiga tahun akan datang.

“Kerja turnaround memerlukan lebih setahun untuk persediaan. Malah, pasukan kami kini sedang menjalankan perancangan integrasi bagi memastikan semuanya berjalan lancar. Kami mahu fokus kepada perkara yang penting supaya tidak berpecah tumpuan dan akhirnya gagal,” ujarnya. – UTUSAN