REMBAU: Pertemuan seramai 160 orang ketua UMNO bahagian seluruh negara semalam merupakan tanda kesepaduan dalam kalangan ahli parti mahu melihat kesudahan yang baik buat Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun berkata, pertemuan malam semalam tidak membabitkan ketua bahagian yang terdiri daripada pimpinan tertinggi termasuklah dirinya.
“Saya tidak ada sana, sebab rasanya ketua-ketua bahagian itu berkumpul, dia tak memanggil ketua bahagian yang dalam pentadbiran.
“Saya cuma dapat tahu apa yang dilaporkan dalam media sosial dan akhbar bahawa mereka mendesak supaya Titah Adendum ini dikuatkuasakan dan minta Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyelesaikannya.
“Dengar khabarnya Perdana Menteri akan berjumpa dengan kepemimpinan UMNO untuk berbincang tetapi dalam masa yang sama kes ini masih dalam mahkamah.
“Biarlah mahkamah selesaikan dulu. Adalah tidak betul jika kita membuat keputusan dalam masa yang sama prosiding mahkamah sedang dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Setulus Kasih PTPTN di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan ketua-ketua bahagian UMNO semalam yang mendesak Anwar agar segera melaksanakan Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan di rumah.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, pertemuan berkenaan tidak salah serta tujuan berkumpul berkenaan adalah untuk tujuan yang baik.
“Dalam politik itu berkumpul baik, dengan niat yang baik, baiklah berkumpul. Berkumpul untuk menyatakan kesepaduan. Berkumpul untuk menunjukkan kekuatan, baik.
“Tapi kalau ada perkumpulan untuk niat-niat yang tidak baik, itu tidak baiklah. Tetapi rasanya mereka berkumpul semalam tu untuk niat yang baik
“Jadi insya-Allah seperti saya sebut tadi, Perdana Menteri akan berjumpa dengan kepemimpinan (Umno) termasuk saya lah. Untuk kita tengok (lihat) kesudahan yang baik untuk Datuk Seri Najib,” katanya. – UTUSAN