SHAH ALAM: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pimpinan parti dan akar umbi supaya bergerak hadapan dan tidak terbawa-bawa dengan naratif pertikaian dalam isu kehakiman.
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata, Anwar yang juga Perdana Menteri menasihatkan akar umbi supaya memahami penyelesaian pelantikan Ketua Hakim yang sebelum ini dijadikan modal politik.
“Tadi ada juga disentuh beberapa perkara yang mana isu kehakiman ada juga dikatakan dalam kalangan parti (terikut-ikut) dengan dakyah. Jadi, beliau menasihatkan jangan terbawa-bawa dengan dakyat dibawa oleh pembangkang.
“Yang dibawa itu pula adalah orang yang pernah ada track record yang tidak baik dalam sistem kehakiman (pendakwaan di mahkamah). Akhirnya terbongkar (terjawab) tak ada pun, tak ada pun yang didakwa,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Jelajah Presiden PKR yang diadakan secara tertutup, hari ini.
Terdahulu, nama bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh antara disebut dan didakwa bocor daripada senarai yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC) kepada Perdana Menteri.
Bagaimanapun, maklumat tersebut dipertikai dan disahkan oleh Anwar, nama bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu tiada dalam senarai yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu, turut hadir dalam program itu, Pengarah Komunikasi, Datuk Mohamed Fahmi Ahmad Fadzil berkata, pelantikan Ketua Hakim yang baharu sudah pun menjawab segala fitnah yang dilemparkan terhadap kerajaan sehingga wujud dakwaan berlaku krisis institusi kehakiman negara.
“Perdana Menteri (Anwar) menuruti proses seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, nama-nama yang dibawa adalah disediakan oleh JAC. Tidak ada sebarang nama yang tidak diberikan kecuali melalui proses itu.
“Ya, Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong selepas berbincang dengan Majlis Raja-Raja Melayu. Jadi tak timbul isu, malah beliau menyatakan dalam tempoh dua setengah tahun, tidak pernah memecat mana-mana ketua hakim,” jelasnya.
Jelasnya, Anwar juga tidak berhasrat untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli atau pimpinan termasuk ahli parlimen yang berbeza pendapat dalam perkara itu dan pelbagai isu lain.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik Ketua Hakim Negara yang baharu.
Perkara itu dimaklumkan menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan yang dikeluarkan lewat malam tadi berhubung pelantikan beliau yang sebelum itu merupakan Hakim Mahkamah Rayuan. – UTUSAN