Pensijilan halal buka laluan eksport produk Bin Maleeq di pasaran global

Perniagaan

PETALING JAYA: Pensijilan halal yang diiktiraf secara global dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjadi pemacu utama kepada usaha Bin Malek Global Sdn. Bhd. menembusi pasaran antarabangsa seperti Brunei, Singapura, Afrika Barat, Arab Saudi, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pengasas dan Pengarah Urusannya, Azfar Ikhwan Abdul Malek berkata, pensijilan halal telah menjadi antara keutamaan sejak awal penubuhan syarikat sebagai jaminan kepada pengguna terhadap integriti dan keselamatan produk di bawah jenama Bin Maleeq.

“Kami menetapkan setiap produk perlu melalui proses pensijilan halal seawal fasa pembangunan. 

“Ia bukan sekadar memenuhi keperluan pengguna Muslim, malah mencerminkan komitmen terhadap kualiti dan ketelusan produk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, antara produk utama jenama tersebut ialah kopi pracampuran susu kambing dan Gum Arabic,Kopi Pra Campuran Gum Arabic dengan perisa serta minuman kopi pracampuran tanpa gula tambahan yang kesemuanya diformulasikan secara eksklusif oleh Bin Maleeq dengan gabungan bahan yang unik.

Jelasnya, pensijilan halal bukan sekadar nilai tambah, sebaliknya merupakan pasport utama untuk menembusi rangkaian pasar raya, pengedar serta pasaran antarabangsa yang mengutamakan piawaianuhan ketat terhadap dokumentasi dan proses audit kilang.

“Pensijilan halal bukan sekadar nilai tambah, sebaliknya merupakan pasport utama untuk menembusi rangkaian pasar raya, pengedar serta pasaran antarabangsa yang mengutamakan piawaian kebersihan dan kepercayaan terhadap produk,” ujarnya.

Azfar berkata, walaupun proses permohonan halal menuntut kepatuhan dokumentasi yang menyeluruh, usaha tersebut terbukti sebagai pelaburan jangka panjang yang menyumbang kepada pertumbuhan dan kredibiliti perniagaan.

Ketika ini, produk Bin Maleeq telah berjaya menembusi beberapa pasar raya dan rangkaian peruncitan tempatan termasuk AEON, Hero Market, Checkers, Super Seven serta pelbagai kedai runcit terpilih di seluruh negara.

“Ini membuktikan bahawa produk kami telah mula mendapat tempat di hati pengguna, terutamanya mereka yang mencari minuman berasaskan kesihatan yang halal dan berkualiti. 

“Namun begitu, kami tidak berhenti di situ. Kami sedang giat meneroka peluang untuk menembusi lebih banyak pasar raya besar, pasar raya kecil dan kawasan tumpuan ramai. 

“Selain itu, kami juga sedang menilai potensi pengedaran melalui platform kedai konsep untuk lebih dekat dengan gaya hidup moden pengguna. 

“Oleh itu, perancangan jangka panjang kami adalah untuk menjadikan produk Bin Maleeq mudah didapati di mana-mana sahaja, sama ada secara fizikal di kedai mahupun secara digital di platform e-dagang,” katanya.

Dalam masa sama, Azfar menyeru lebih ramai pengusaha makanan dan minuman (F&B) untuk memberi penekanan terhadap pensijilan halal dalam operasi mereka.

“Soal halal bukan sekadar logo. Ia adalah lambang amanah yang memberikan keyakinan kepada pengguna serta membuka peluang pasaran lebih luas, sekali gus mengangkat profesionalisme produk tempatan ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Ditubuhkan pada 2018 dan memulakan operasi rasmi pada Ogos 2019, Bin Malek Global kini berada pada landasan kukuh untuk terus berkembang dalam pasaran domestik dan luar negara.-UTUSAN