PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran tegas untuk tidak berkompromi kepada sebarang cubaan mencabar prinsip Perlembagaan Persekutuan termasuk usaha menjatuhkan kerajaan melalui cara tidak sah.
Perdana Menteri berkata, tindakan itu jelas melanggar undang-undang walaupun kerajaan terbuka kepada kritikan dan tidak sekali-kali berdiam diri jika kestabilan negara digugat.
“Ada yang kata hendak suruh saya turun. Saya dengar isu ada ribuan peserta (perhimpunan). Polis beri laporan, saya kata jalan. Tidak maksud hendak halang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada ‘Perhimpunan Turun Anwar’ yang dijadual berlangsung di Ibu Negara pada Sabtu ini.
Anwar dalam pada itu, membidas kenyataan provokatif kononnya kerajaan akan dipaksa untuk bertukar tanpa melalui pilihan raya.
“Apabila dia sebut nak paksa kerajaan bertukar, tidak mahu tunggu pilihan raya, itu sudah aneh.
“Saya kata tidak mengapalah. Saya beritahu Speaker, kalau ada usul undi tidak percaya hari pertama (sidang Dewan Rakyat) Parlimen, saya tunggu,” tegasnya.
Beliau berkata, sekiranya pihak pembangkang mempunyai sokongan majoriti, mereka boleh kemukakan usul undi tidak percaya seperti mana termaktub dalam sistem demokrasi berparlimen.
“Tapi dia tahu tidak boleh. Insya-Allah kita bertahan dengan sokongan kuat, dua pertiga majoriti. Kita tunggu pilihan raya.
“Mereka tidak mahu, mereka nak turunkan sekarang. Ini sudah langgar prinsip Perlembagaan,” katanya.
Anwar turut menyifatkan naratif huru-hara yang cuba dibawa pihak tertentu sebagai usaha mencetuskan ketidakstabilan politik dan ketakutan dalam kalangan rakyat.
“Saya ingatkan, sementara kerajaan bertolak ansur, kita akan bertegas apabila prinsip Perlembagaan dicabar. Saya harap keadaan kita aman. Nak dengki sebab apa, apa yang jadi?” soalnya.
Beliau berkata, wujud segelintir pihak yang menyebarkan gambaran kononnya negara sudah tidak selamat dan rakyat hidup dalam keadaan terdesak.
“Itu mantera yang diberikan termasuk di stadium di Kedah baru-baru ini,” katanya.
Anwar berkata, jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan prestasi beliau sebagai Perdana Menteri, mereka berhak untuk menyuarakan kritikan dan menggesa perubahan secara demokratik.
“Kritik saya tidak ada masalah. Perdana Menteri ini tidak pandai urus negara dan patut diperbaiki, saya tak ada masalah.
“Harus rancang supaya ada orang lain lebih baik ganti, saya tak ada masalah. Tapi kalau dimulakan begini, mencetuskan huru-hara, tidak ada negara yang akan selamat,” katanya.
Namun beliau mengingatkan bahawa sebarang tindakan untuk mencetuskan huru-hara akan memberi kesan buruk kepada kestabilan negara.
“Kalau dimulakan begini, mencetuskan huru-hara, tak ada negara yang akan selamat. Semua rekod baik kita akan terpadam kalau tak jamin kestabilan politik,” ujarnya.
Terdahulu, Polis menjangkakan penyertaan perhimpunan tersebut sehingga 15,000 orang dengan 2,000 pegawai dan anggota PDRM akan ditugaskan bagi membantu melancarkan perhimpunan berkenaan selain menjaga keselamatan peserta serta orang awam. – UTUSAN