Denza D9 boleh lawan Alphard?

Perniagaan

SAMA ada unit itu dibeli baharu dari pengedar rasmi UMW Toyota lengkap dengan waranti, atau unit import terpakai dengan waranti terbatas, Alphard atau Velfire memang menjuarai kategori tersebut kerana satu sebab – tidak ada pesaing lain dalam julat harga tersebut.

Untuk seketika, Alphard/Velfire dicabar oleh KIa Carnival, tetapi terbukti sekarang ia masih kekal juara, membuatkan pengusaha-pengusaha kenderaan “recond” menarik nafas lega tetapi kini, muncul satu lagi cabaran – MPV mewah elektrik dan antara yang popular ialah Denza D9.

Denza ialah satu jenama di bawah BYD, syarikat kenderaan elektrik nombor satu dunia (dari segi jumlah jualan).

Diperkenalkan dalam tahun 2010, Denza dilihat sebagai alternatif lebih mewah dan memberikan fokus kepada kenderaan-kenderaan elektrik dan PHEV.

Pada awalnya, Mercedes-Benz menjadi rakan kongsi kepada BYD tetapi kerana jualan yang teruk, dalam tahun 2021, syarikat Jerman itu menurunkan jumlah pegangan sahamnya dari 50 kepada 10 peratus sahaja.

 

 

Tahun lalu, Mercedes-Benz menjual terus kesemua baki saham yang tinggal kepada BYD.

Denza D9 ini diperkenalkan dalam tahun 2022 dan sebenarnya hadir dalam dua jenis – elektrik sepenuhnya dan hibrid PHEV tetapi untuk Malaysia, D9 elektrik dipilih. Mungkin kerana insentif cukai yang diberikan oleh kerajaan hanya khusus kepada kenderaan elektrik (EV) sahaja.

D9 sendiri mempunyai dua varian – Advanced dengan satu motor pada roda hadapan, dan Premium dengan dua motor pada roda depan dan belakang.

Saiz dan jenis bateri sama – BYD Blade LFP bersaiz 103.6 kWh dan spesifikasi sebenarnya hampir sama kecuali jarak gerak di mana Advanced dengan motor tunggal mampu mencecah hingga 520 km (WLTP) dengan sesekali cas.

Bagi varian Premium AWD seperti yang diuji oleh penulis kali ini, unit dua motor ini memberikan jarak gerak sejauh 480 km (WLTP) dengan sekali cas, tetapi boleh mencecah atas dari 500 km jika dipandu dengan sangat berhemah.

Penulis menggunakan Denza D9 Premium AWD ini untuk seminggu dan perjalanan berkisar di dalam bandaraya Kuala Lumpur dan satu trip pulang ke kampung di Bukit Serampang, Segamat. Ternyata penggunaan tenaga memang lebih tinggi dari EV genre SUV atau kereta.

Dengan berat melebihi 2.8 tan, Denza D9 Premium AWD ini mencatat penggunaan tenaga di atas 22 kWh untuk setiap 100 km. Ia masih menghasilkan 374 PS dan 470 Nm dari gabungan dua motor elektriknya dan itu membantu menjadikan perjalanan lebih selesa dan bermaya.

Sayangnya masalah EV masih kekal sama, bila pendikit ditekan secara agresif, jumlah tenaga digunakan akan meningkat dengan banyak dan jarak gerak jatuh mendadak. Penulis mengambil keputusan demi untuk menjaga jarak gerak, pemanduan lebih bagus dikekalkan mengikut halaju yang ditetapkan – antara 90 ke 110 kmsj.

Pengecas terbina yang ada pada Denza D9 ini ialah 11kW untuk AC dan 166kW untuk DC, cukup sesuai dengan saiz baterinya yang besar. Menurut BYD, anda mampu mencapai jarak gerak 150 km jika dicas dalam tempoh 10 minit.

Benar, tetapi yang tidak diberitahu oleh BYD ialah untuk mencapai prestasi cas begitu, State of Charge (SoC) bateri perlu berada dalam lingkungan 30 ke 80 peratus dan anda perlu menggunakan pengecas DC 166 kW atau yang lebih tinggi.

Jika rumah anda menggunakan sistem elektrik 3-phase, anda boleh memasang pengecas dinding dengan kekuatan 11kW atau lebih dan bateri akan penuh (dari kosong) dalam lebih kurang sembilan jam.

Dari segi saiz pula, D9 memang lebih besar dari Alphard/Velfire dan kerana itu ruang kabin memang cukup luas. Ruang but sahaja adalah sebesar 410 liter, tanpa perlu mengorbankan tempat duduk barisan ketiga.

Bahagian dalam D9 memang menjadi buah mulut peminat MPV mewah kerana ia mempunyai spesifikasi yang hampir sama dengan Alphard/Velfire gred tertinggi dengan harga setengah juta ringgit.

Bermula dengan empat tempat duduk pada barisan hadapan dan kedua yang mempunyai fungsi penyejuk dan pengurut, hingga kepada peti sejuk pada konsol tengah yang mampu menurunkan suhu makanan sehingga -6 darjah Celcius.

Penggunaan warna coklat muda dan hitam untuk balutan kulit Nappa mewah memang sesuai dengan citarasa pengguna Malaysia, dan dua bumbung suria turut dibekalkan. Sayangnya, penumpang belakang tidak ada skrin besar pada siling. Ketiadaan fungsi ini cukup dikesalkan kerana alatan penting untuk mengawal kadar ketenteraman anak-anak kecil.

Sistem gantungan untuk varian Premium AWD ini ialah dari jenis adaptif udara DiSus-C Intelligent Dampung Body Control System dengan dua mod – selesa dan sporti. Walaupun namanya canggih dan panjang berjela, ia tidaklah sehebat sistem gantungan udara dari jenama-jenama Jerman kerana dalam apa jenis mod pun, ia masih membuai jika dipandu laju dan penumpang belakang masih boleh mabuk jika pemandu mengambil selekoh dengan laju.

Nasib baik juga ia kekal selesa dalam apa jenis mod pun.

Menambah pada keselesaan D9 ini ialah kadar bunyi yang cukup rendah – 64.6 dBA pada kelajuan 120 kmsj. Penulis juga merasakan D9 ini lebih senyap di lebuhraya berbanding dengan Alphard/Velfire. Benar, ia sebuah MPV elektrik dan ketiadaan enjin memang akan menjadikan ia senyap tetapi kadar bunyi angin dan tayar juga terasa berkurangan.

Daya kilas yang tinggi membantu penulis untuk memotong lori-lori dan kenderaan-kenderaan lembab serta membantu pendakian bukit. Sistem audio yang baik juga memberikan kepuasan kepada pemandu untuk perjalanan jauh, dengan syarat penumpang lain redha dengan pilihan lagu atau apa sahaja yang mahu didengarkan oleh pemandu.

Kekangan utama untuk Denza D9 Premium AWD atau mana-mana MPV elektrik berbanding dengan Alphard/Velfire atau mana-mana MPV berenjin ialah keperluan untuk merancang perjalanan.

Kenderaan berenjin mempunyai sokongan stesen minyak yang cukup meluas, termasuk di kawasan pendalaman. Tidak ada halangan untuk ke mana sahaja kita mahu merayau.

Bagi EV, perancangan diperlukan untuk penggunaan harian dan bagi perjalanan pulang ke kampung, perancangan tambahan diperlukan. Bagi mereka yang tidak mahu dibelenggu dengan masalah mengecas, memang ia kurang sesuai tetapi jika anda ialah seorang ayah yang sentiasa bercerita tentang gajet-gajet terkini dan memuat-naik video-video diari kehidupan harian anda kepada 10 “follower” tegar anda di media sosia., MPV elektrik seperti D9 ini cukup sesuai.

Antara D9 Premium AWD dan Alphard/Velfire, Denza ini memang lebih selesa dan lebih seronok dipandu tetapi masih kurang praktikal dari segi kebebasan bergerak yang sering terbatas dengan teknologi bateri dan pengecas EV yang masih kuno.-UTUSAN