PEKAN: UMNO Bahagian Pekan mendesak agar prosiding semakan kehakiman tentang Titah Adendum di peringkat Mahkamah Tinggi diteruskan sebagai mana keputusan oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu.
Ketuanya, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Arif berkata, UMNO Bahagian Pekan menyambut baik penjelasan rasmi oleh Peguam Negara kepada Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum oleh Yang Di-Pertuan Agong ke-16 sebagaimana afidavit Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohamad Nizar Najib.
“Malah perlu ditegaskan bahawa kewujudan Titah Adendum yang bertarikh 29 Januari 2024 tersebut telah disahkan oleh pihak Majlis Kesultanan Pahang melalui surat bertarikh 4 Januari 2025.
“Maka pelaksanaan Titah Adendum yang tertangguh lebih 16 bulan ini umpama keadilan yang dinafikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak serta melambatkan haknya di bawah Perlembagaan untuk mendapatkan keadilan.
“UMNO Pekan berharap agar perlantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baru akan memandang serius perkara ini demi menjamin prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sentiasa terpelihara. Keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara akan semakin terhakis sekiranya rakyat merasa ragu dengan proses perundangan yang dijalankan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohammad Fakhruddin berkata, UMNO Pekan juga menghargai kesepakatan Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh negara yang berkumpul pada 17 Julai lalu bagi menzahirkan sokongan dan solidariti terhadap Najib serta dengan tegas mendesak agar Perdana Menteri untuk segera mengambil tanggungjawab penuh bagi melaksanakan Titah Adendum tersebut.
“Datuk Seri Najib merupakan tokoh negarawan yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara, termasuklah melalui pelbagai dasar transformasi ekonomi dan pembangunan infrastruktur yang masih memberi manfaat kepada rakyat sehingga kini.
“Sumbangan beliau tidak wajar dipinggirkan dan sebagai warganegara Malaysia, beliau juga berhak menerima layanan yang adil dan saksama di sisi undang-undang,” katanya.
Menurutnya, semoga Najib akan menerima hadiah yang berupa kemenangan dan kebebasan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-72 pada 23 Julai ini. – UTUSAN