PETALING JAYA: Skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara terpaksa pulang awal daripada saingan Piala ASEAN B-23 meskipun berjaya mengikat Indonesia 0-0 pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan Indonesia muncul juara Kumpulan A selepas mengumpul tujuh mata dan mara ke separuh akhir manakala Filipina menjadi naib juara dengan mengutip enam mata, sementara Malaysia di tangga ketiga apabila mengumpul empat mata dan Brunei di kedudukan keempat tanpa sebarang mata.
Pada aksi terakhir Kumpulan A itu, skuad bimbingan Nafuzi Zain turun dengan misi sukar apabila perlu melakar kemenangan lebih daripada tiga gol jika ingin mara ke separuh akhir.
Turun dengan misi itu, skuad negara bagaimanapun lebih banyak ‘berkampung’ di kawasan sendiri dengan hanya mengharapkan serangan balas pantas namun taktikal itu tidak membuahkan hasil bagi merobek gawang Indonesia.
Tuan rumah lebih banyak menguasai bola pada babak pertama, tetapi turut buntu menembusi benteng pertahanan skuad muda negara yang cukup berdisplin dan mudah mematahkan serangan dicatur Indonesia.
Malaysia juga berdepan situasi ‘mati akal’ untuk merobek gawang Indonesia menyaksikan babak pertama berakhir dengan kedudukan 0-0.
Bersambung babak kedua, anak buah Nafuzi hampir memperolehi gol pertama tetapi percubaan Aliff Izwan Yuslan menerusi sepakan bola mati berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Indonesia, Cahya Supriadi pada minit ke-53.
Seminit kemudian, Malaysia bernasib baik apabila serangan balas pantas Indonesia hampir menghadirkan gol pertama buat tuan rumah, namun tindakan pantas pertahanan negara melakukan hadangan menyelamatkan gawang negara.
Penjaga gol negara, Zulhilmi Sharani menunjukkan aksi menyelamat yang cemerlang apabila menampan percubaan Jens Raven pada minit ke-58.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan usaha mereka untuk mencari gol pembukaan terus buntu dan menyaksikan tiada jaringan berjaya dijelmakan pada perlawanan itu sekali gus berkongsi satu mata.-UTUSAN