PETALING JAYA: Bekas tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Adam Nor Azlin menegaskan bahawa perpindahannya secara pinjaman ke Kuala Lumpur (KL) City musim ini bukanlah jaminan automatik untuk dia mengisi tempat dalam kesebelasan utama.
Pemain berusia 29 tahun itu, mengakui bakal berdepan saingan sengit dalam usaha merebut posisi utama di barisan pertahanan KL City, yang turut dibarisi pemain berpengalaman seperti Giancarlo Gallifuoco, Fadhli Shas, Kenny Pallraj, Amer Saidin, dan seorang lagi pemain import yang dijangka diumumkan tidak lama lagi.
“Saya sedar cabaran yang menanti. Tapi saya yakin dengan kemampuan diri sendiri. Musim lalu saya banyak beraksi bersama Sri Pahang, jadi tiada masalah untuk bersaing secara sihat bersama KL City.
Saya harap jurulatih, Risto Vidakovic, menilai semua pemain secara adil,” ujar Adam.
Bekas pemain Selangor itu turut menyifatkan skuad KL City musim ini lebih seimbang di semua posisi, dan percaya suasana dalaman yang kompetitif akan membantu pemain lebih berdisiplin serta konsisten.
“Kekuatan pasukan kali ini bukan hanya di bahagian pertahanan. Di semua posisi, ada persaingan sihat. Itu bagus untuk pasukan dan bantu naikkan tahap setiap pemain,” katanya.
Adam menegaskan bahawa komitmennya kini tertumpu sepenuhnya kepada KL City dan dia mahu mengambil peluang ini untuk membuktikan dirinya dan membantu kelab ibu kota itu meraih sesuatu pada musim ini.
“Buat masa ini, fokus saya hanya untuk KL City. Jika ada rezeki, saya mahu bantu pasukan ini capai kejayaan. Ini cabaran baharu dalam karier saya dan saya mahu ambil peluang ini sebaik mungkin,” jelasnya.
Musim lalu, Adam tampil cemerlang bersama Sri Pahang, termasuk membantu pasukan mara ke final Piala Malaysia sebelum tewas tipis 2-1 kepada JDT dalam aksi penuh dramatik di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 April lalu.-UTUSAN