Kementerian Digital akan hasilkan Kerangka Kerja Pusat Data

Perniagaan

PETALING JAYA: Kementerian Digital akan menghasilkan Kerangka Kerja Pusat Data yang mampan pada Oktober 2025 bagi memastikan dasar dan pelaksanaan pembangunan pusat data diselaras secara menyeluruh, telus dan proaktif untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital negara. 

Perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Pusat Data ( DCTF) semalam yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri,  Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo. 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Digital dalam kenyataan Bersama berkata, DCTF juga memutuskan bahawa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menjadi focal point dan agensi utama bagi meluluskan kesemua pemohonan projek baharu dan pengembangan pelaburan sedia ada berkaitan pusat data. 

Katanya, perakuan dan koordinasi di peringkat DCTF bagi pelaburan dan pengembangan pusat data adalah penting untuk memastikan setiap inisiatif dan pelaksanaan projek pusat data dapat direalisasikan dengan tersusun serta mengelakkan pertindihan fungsi dan juga insentif pelaburan. 

“Sehubungan itu, koordinasi strategik bersama semua agensi berkaitan dan kerajaan negeri perlu dilaksanakan secara sistematik bagi menyokong pembangunan ekosistem pusat data negara secara lebih mampan, berdaya saing, strategik dan mesra pelabur,” katanya dalam kenyataan bersama.

DCTF telah ditubuhkan pada bulan Februari 2025 dengan tujuan untuk merangka, menyelaras dan memantau pelaksanaan dasar serta inisiatif pembangunan industri pusat data negara, merangkumi aspek perancangan, kelulusan pelaburan dan keperluan infrastruktur. 

Mesyuarat DCTF itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Pegawai-Pegawai Kanan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Digital (KD) serta wakil-wakil daripada kementerian dan agensi berkaitan. 

Tengku Zafrul berkata, dengan dasar yang jelas dan konsisten, Malaysia telah berjaya menarik dan meningkatkan pelaburan pusat data ke Malaysia. 

“Pusat data amat penting sebagai pemacu ekonomi digital dengan anggaran pengganda ekonomi yang tinggi. 

“Justeru, sinergi dasar antara MITI dan KD amat penting dalam memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai hab serantau utama untuk pelaburan pusat data dan infrastruktur digital bagi terus menyokong pembangunan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.” katanya.

Sementaa itu, Gobind berkata, Kementerian Digital bertanggungjawab memastikan ekonomi digital Malaysia dibangunkan dengan teratur dan mampan. 

“Sehubungan itu, Kerangka Kerja Pusat Data yang Mampan yang akan dilancarkan menjelang bulan Oktober 2025 ini akan memastikan dasar dan pelaksanaan pembangunan pusat data diselaras secara menyeluruh. 

“Dasar yang telus dan tuntas penting untuk terus meyakinkan pelabur mengenai matlamat pertumbuhan mampan ekonomi digital negara bagi manfaat rakyat dan sektor perniagaan Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN