Inflasi Malaysia catat 1.1 peratus Jun 2025

Perniagaan

PETALING JAYA: Kadar inflasi Malaysia meningkat perlahan 1.1 peratus pada Jun 2025 dengan mata indeks mencatatkan 134.5 berbanding 133.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Peningkatan perlahan ini turut ditunjukkan melalui penurunan dalam Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Pengeluaran Tempatan yang mencatatkan sebanyak negatif 3.6 peratus pada Mei 2025.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 2.1 peratus pada Jun 2025, kadar yang sama direkodkan pada Mei 2025. 

Katanya, subkumpulan makanan di luar rumah menunjukkan peningkatan lebih tinggi, 4.7 peratus berbanding 4.4 peratus pada bulan sebelumnya. 

“Walau bagaimanapun, penurunan makanan di rumah sebanyak negatif 0.4 peratus (Mei 2025: 0.0 peratus), sedikit sebanyak mengekang inflasi ini daripada meningkat lebih tinggi. 

“Selain itu, kumpulan pendidikan, 2.2 peratus; perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain, 1.7 peratus; insurans & perkhidmatan kewangan, 1.5 peratus dan minuman alkohol & tembakau, 0.6 peratus turut meningkat pada kadar yang sama direkodkan pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kumpulan restoran & perkhidmatan penginapan, 2.8 peratus; rekreasi, sukan & kebudayaan, 0.8 peratus; pengangkutan, 0.3 peratus dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah, 0.1 peratus mencatatkan peningkatan perlahan pada Jun 2025.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat beberapa kumpulan yang mencatatkan peningkatan lebih tinggi berbanding Mei 2025 iaitu penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan, 4.2 peratus dan kesihatan, 1.2 peratus. 

“Sebagai tambahan, maklumat & komunikasi dan pakaian & kasut masing-masing kekal berada pada jajaran negatif iaitu negatif 5.4 peratus dan negatif 0.3 peratus,” ujarnya.

Mohd Uzir berkata, 59.2 peratus item (339 daripada 573) merekodkan kenaikan harga. 

Namun begitu, katanya, daripada jumlah tersebut, 329 item (97.1 peratus) mencatatkan peningkatan kurang atau sama dengan 10 peratus, manakala hanya 10 item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada Jun 2025. 

“Baki sebanyak 192 item (33.5 peratus) menunjukkan penurunan dan 42 item kekal tidak berubah. Inflasi subkumpulan makanan di rumah menurun kepada negatif 0.4 peratus pada Jun 2025. 

“Ini disumbangkan oleh penurunan kelas perbelanjaan sayur-sayuran; susu, produk tenusu lain & telur; daging dan bijirin & produk bijirin,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, inflasi kumpulan pengangkutan meningkat pada kadar yang lebih perlahan pada Jun 2025, 0.3 peratus. 

“Ini didorong oleh subkumpulan pengurusan peralatan pengangkutan persendirian dan perkhidmatan pengangkutan awam yang masing-masing mencatatkan 0.3 peratus pada Jun 2025 berbanding 0.6 peratus dan 1.3 peratus pada bulan sebelumnya. 

“Antara item yang merekodkan kenaikan lebih perlahan pada Jun 2025 ialah perkhidmatan mencuci kereta, 3.5 peratus; bateri kereta, 1.4 peratus dan Kerusi keselamatan kanak-kanak, 0.7 peratus,” jelasnya.

Tambahnya, harga bahan api diesel pada Jun 2025 mencatatkan penurunan kepada negatif 3.4 peratus dan purata harga diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM2.78 seliter berbanding RM2.99 seliter pada Jun 2024. 

Mohd Uzir Mahidin berkata, berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, 10 negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional, 1.1 peratus dengan Kelantan merekodkan peningkatan terendah sebanyak 0.2 peratus pada Jun 2025. 

“Walau bagaimanapun, lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Negeri Sembilan (1.6 peratus), Selangor (1.6 peratus), Johor (1.5 peratus), Melaka (1.3 peratus) dan Kuala Lumpur (1.2 peratus),” jelasnya. – UTUSAN