PETALING JAYA: Fungsi pengawalseliaan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan diambil alih sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bermula 1 Ogos ini, susulan pelaksanaan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 [Akta 856].
Menurut kenyataan, langkah tersebut adalah sebahagian daripada proses rasionalisasi MAVCOM dan CAAM seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan pada 23 Jun lalu.
Katanya, melalui pelaksanaan ini, CAAM akan mengambil tanggungjawab penuh terhadap semua fungsi pengawalseliaan dalam industri penerbangan awam negara.
“Fungsi itu merangkumi pelesenan, peruntukan Hak Trafik Udara (ATR), pembangunan lapangan terbang, pengurusan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS), hal ehwal ekonomi dan persaingan, serta penyeliaan keseluruhan terhadap industri penerbangan awam.
“CAAM juga akan menguruskan platform digital sedia ada seperti AeroFile dan AeroLicence untuk tujuan pemprosesan permit overflight/pendaratan serta urusan pelesenan.
“Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman rasmi CAAM di www.caam.gov.my,” katanya.
Semua platform aduan pengguna yang kini diuruskan MAVCOM akan kekal beroperasi sepanjang tempoh peralihan dan selepas 1 Ogos 2025.
Pengguna masih boleh mengemukakan aduan berkaitan syarikat penerbangan dan lapangan terbang melalui laman web dan aplikasi mudah alih FlySmart seperti biasa.
Segala maklumat berkaitan perhubungan dan saluran komunikasi akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi CAAM.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin berkata, keutamaan MAVCOM adalah memastikan proses peralihan berlangsung secara teratur tanpa menjejaskan kepentingan pihak berkepentingan dan pengguna.
Beliau berkata, kelestarian serta pertumbuhan berterusan industri penerbangan negara kekal menjadi tumpuan utama sepanjang tempoh peralihan ini.
“Bagi pihak MAVCOM, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Anggota Suruhanjaya dan Anggota Jawatankuasa terdahulu dan semasa, serta kakitangan MAVCOM.
“Dedikasi, profesionalisme dan usaha gigih mereka yang berteraskan prinsip integriti, profesionalisme dan kesaksamaan telah menjadi asas kukuh kepada pencapaian MAVCOM.
“Daripada merangka dasar penerbangan sehinggalah melindungi hak pengguna dan memacu pertumbuhan industri, komitmen mereka telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap landskap penerbangan negara,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan setulus penghargaan kepada semua pihak berkepentingan atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang MAVCOM beroperasi.
“Tatkala kami bersedia untuk menutup lembaran ini, kami melakukannya dengan penuh tanggungjawab terhadap legasi yang ditinggalkan, serta keyakinan yang tinggi terhadap kepimpinan CAAM dalam meneruskan perjalanan ini,” katanya.
MAVCOM kekal komited untuk melaksanakan mandat dan tanggungjawabnya sehingga tarikh rasionalisasi. – UTUSAN