ASEMIS 2025 pacu daya saing semikonduktor serantau

Perniagaan

PETALING JAYA: Malaysia melalui Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN 2025 (ASEMIS 2025) komited untuk memajukan Rangka Kerja Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu ASEAN (AFISS) dan mengukuhkan rantau ini sebagai hab utama dunia dalam pembuatan semikonduktor.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ASEAN berada pada kedudukan strategik untuk muncul sebagai hab utama dunia dalam industri semikonduktor memandangkan keperluan global terhadap komponen itu semakin meningkat.

“ASEMIS 2025 bakal merintis kerjasama lebih erat antara sektor awam dan swasta serta mengukuhkan momentum pertumbuhan industri semikonduktor serantau. 

“Malaysia komited memajukan AFISS dan memperkukuh peranan rantau ini dalam memastikan keselamatan teknologi global,” katanya dalam kenyataan. 

ASEMIS 2025 dianjurkan dengan kerjasama MITI dan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) akan berlangsung pada 24 Julai ini di Hotel One World, Petaling Jaya.

Sidang kemuncak sehari itu bertemakan ‘Shaping the Future of ASEAN’s Semiconductor Industry’ bertujuan memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai hab utama dunia dalam pembuatan semikonduktor, keselamatan teknologi dan inovasi.

Sebanyak 500 peserta terdiri daripada pembuat dasar, pemimpin industri, penganalisis, wakil dana berdaulat dan pakar ekonomi dari seluruh ASEAN dan Asia dijangka menghadiri ASEMIS 2025. 

Dua agenda utama Malaysia sempena Pengerusi ASEAN 2025 iaitu AFISS dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) turut menjadi fokus perbincangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan Ucapan Dasar, disusuli kehadiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

MITI akan diwakili Menterinya bersama Timbalan Menteri, Liew Chin Tong dan Ketua Setiausaha, Datuk Hairil Yahri Yaacob, manakala Menteri Sumber Manusia, Steven Sim turut dijangka hadir bersama barisan pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, Presiden MSIA, Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, ASEMIS 2025 merupakan platform strategik untuk pemain industri menjalin jaringan, menimba pandangan serta membentuk hala tuju industri semikonduktor di ASEAN.

“Delegasi juga berpeluang meneroka potensi kerjasama yang boleh merancakkan pertumbuhan perniagaan dan daya saing serantau,” katanya.

Antara panel jemputan termasuk wakil persatuan industri dari Malaysia, Singapura, Filipina, Thailand dan Vietnam yang akan membincangkan kerjasama awam-swasta dan integrasi serantau. 

Dalam pada itu, antara pameran utama melibatkan penyertaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Selangor, selain syarikat seperti Beckhoff Automation Sdn. Bhd., HSBC Bank Malaysia Berhad, Infineon Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd., Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC), United Overseas Bank (Malaysia) Bhd. (UOB) dan ViTrox Corporation Bhd. selaku penaja utama.

MITI turut menampilkan inisiatif perindustrian utama termasuk Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Negara (NSS). 

Ia memberi fokus kepada pengukuhan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan serantau, pembangunan bakat STEM serta peralihan daripada pembuatan konvensional ke aktiviti bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu dan pembungkusan lanjutan.

Penganjuran ASEMIS 2025 turut disokong oleh agensi-agensi di bawah MITI termasuk Collaborative Research in Engineering, Science and Technology Centre (CREST), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDF). – UTUSAN