KUALA LUMPUR: CGS International Securities Pte. Ltd. (GGS International) menerusi anak syarikatnya, CGS International Securities Malaysia Sdn. Bhd. (CGS MY), menjadi broker pertama di Malaysia yang melancarkan produk pelaburan terstruktur berasaskan ekuiti patuh syariah.
Dua produk baharu yang dilancarkan adalah Islamic Equity Linked Investment Notes (ELIN-i) dan Islamic Autocallable Equity Structured Investment Notes (AESIN-i), yang masing-masing disasar kepada pelabur sofistikated berpendapatan tinggi serta entiti bernilai tinggi.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CGS MY, Khairi Shahrin Arief Baki berkata, permintaan terhadap produk pelaburan patuh syariah kian meningkat seiring minat pelabur terhadap instrumen berasaskan nilai.
“Malaysia merupakan peneraju pasaran kewangan Islam global dan kami yakin inovasi berterusan menerusi produk seperti ELIN-i dan AESIN-i akan membuka lebih banyak pilihan pelaburan berstruktur kepada pelabur sofistikated, tanpa mengira kepercayaan individu,” katanya pada majlis pelancaran ELIN-i dan AESIN-i di sini, semalam.
ELIN-i merupakan produk tidak dilindungi prinsipal dengan tempoh matang singkat, yang membolehkan pelabur meraih pulangan berdasarkan prestasi harga instrumen rujukan patuh syariah.
AESIN-i pula menawarkan struktur ‘knock-in’ dan ‘knock-out’, pembayaran keuntungan bulanan serta tempoh matang sehingga 12 bulan.
Menurut beliau, GGS sebelum ini telah melancarkan produk pelaburan berstruktur konvensional sejak kira-kira 20 bulan lalu dan menerima banyak pertanyaan daripada pelanggan tentang versi patuh syariah.
“Kami ambil masa untuk meneliti permintaan tersebut sebelum membangunkan produk ini kira-kira 12 bulan lalu. Jelas ada permintaan, terutamanya sejak pandemik.
“Ketika ini, produk patuh syariah merangkumi antara 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan penawaran GGS, namun segmen tersebut disasar untuk terus berkembang menerusi peluasan saluran pengedaran,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Syariah Kumpulan CGS International, Rushdan Nadzir berkata, pelancaran ELIN-i dan AESIN-i adalah lanjutan kepada perluasan portfolio patuh syariah syarikat, yang kini meningkat daripada dua kepada 10 produk dalam tempoh empat tahun.
“Kami mengambil peluang daripada kekuatan Malaysia dalam kewangan Islam dan keupayaan pelaburan CGS International untuk menawarkan penyelesaian yang berstruktur dan strategik kepada pelabur,” katanya.
Beliau berkata CGS International kini beroperasi di Malaysia, Singapura dan Indonesia dan merancang memperluas penawaran ke pasaran di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) menerusi perancangan pembukaan pejabat baharu di Dubai.
“Pengenalan produk secara berperingkat di Indonesia dan Singapura juga sedang dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan kawal selia tempatan yang berbeza.
“Struktur kami dahulu dikenali sebagai ‘Islamic Services’, namun kami ubah kepada ‘Shariah Services’ untuk menyesuaikan dengan sensitiviti sesetengah negara. China juga dalam perancangan, kerana kami melihat potensi besar dari segi dana pelaburan luar negara,” katanya.
CGS MY juga giat memperluas penawaran strategik seperti penyelesaian Single-Family Office (SFO) bagi pelabur bernilai tinggi di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan perkhidmatan dagangan rentas sempadan Islam Islamic Cross-Border Trading (ICBT).
Ini membolehkan pelabur berdagang lebih 11,000 saham patuh syariah di bursa-bursa global termasuk New York Stock Exchange (NYSE), Nasdaq, Singapore Exchange (SGX) dan Stock Exchange of Thailand (SET).
Sebagai langkah susulan, CGS MY dan Bursa Malaysia akan menganjurkan Invest Shariah Conference 2025 pada 7 Ogos depan bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pasaran modal Islam serantau. –UTUSAN