PETALING JAYA: SkyWorld Development Berhad (SkyWorld) melancarkan SkyAwani PRIMA Residences dan muncul pemaju pertama di negara ini menawarkan kemudahan Maybank MyDeco Financing untuk projek perumahan dalam fasa pembinaan.
Kemudahan pembiayaan itu membolehkan pembeli yang layak mendapatkan pinjaman sehingga 120 peratus (terhad kepada RM250,000), termasuk tambahan 30 peratus bagi kerja-kerja dalaman seperti ubah suai, hiasan dalaman, kelengkapan dan perabot.
Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld Development Berhad, Lee Chee Seng berkata, pihaknya komited untuk menawarkan kediaman yang bukan sahaja mampu milik dan berada di lokasi strategik, malah lengkap dengan kemudahan bagi memenuhi keperluan pemilik rumah masa kini.
“Dengan SkyAwani PRIMA, pembeli tidak perlu menangguh atau bimbang soal pengubahsuaian kerana semuanya boleh dirancang dan dibiayai sejak awal pembelian secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.
Projek yang dibangunkan secara usahasama dengan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) itu terletak strategik di Brickfields, sekali gus memperkukuh komitmen SkyWorld untuk menyediakan kediaman berkualiti dan mampu milik di tengah bandar Kuala Lumpur.
Awani Series sebelum ini meraih pengiktirafan antarabangsa termasuk Anugerah Emas FIABCI World Prix d’Excellence dua tahun berturut-turut menerusi SkyAwani 2 Residences di Sentul (2022) dan SkyAwani 3 Residences di Setapak (2023).
Dalam pada itu, melalui aplikasi SkyWorld Connects, pemilik rumah boleh mengurus proses hiasan dalaman secara terus melalui platform e-dagang Solution+.
Ia menawarkan pelbagai penyelesaian seperti kabinet dapur dan almari bina dalam, rak kasut, lampu LED, kipas siling, pemanas air, hud dan dapur memasak – semuanya layak dibiayai di bawah MyDeco Financing.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Syed Ahmad Taufik Albar berkata, kemudahan pembiayaan dalaman itu kini diperluas kepada unit dalam pembinaan buat pertama kali bagi membantu pelanggan merancang kediaman yang memenuhi cita rasa mereka.
“Kami percaya memiliki rumah hanyalah permulaan kepada perjalanan lebih besar. Dengan MyDeco Financing, pelanggan boleh melangkah lebih jauh dalam merangka kediaman impian mereka,” katanya.
SkyAwani PRIMA Residences dibangunkan di atas tanah pegangan pajak seluas 0.80 hektar, menawarkan 492 unit kediaman berkeluasan 900 kaki persegi pada harga hanya RM390,000 seunit, iaitu jauh di bawah harga pasaran semasa bagi kawasan pusat bandar.
Penduduk akan menikmati akses berjalan kaki ke Mid Valley Megamall, jaringan pengangkutan awam, institusi pendidikan, pusat kesihatan dan kawasan komersial berhampiran.
Pelancaran rasmi projek berlangsung sempena Persidangan Hartanah ASEAN di KLCC dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta timbalannya.
Majlis pelancaran itu menerima sambutan luar biasa dengan lebih 3,000 pendaftaran dan pemilihan 492 pembeli rumah dilakukan menerusi proses cabutan undi. – UTUSAN