PETALING JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang mencatat perluasan rangkaian dengan penambahan lima perkhidmatan baharu pada Jun 2025, selari dengan usaha menjadikan negara sebagai hab penerbangan global utama.
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata, rangkaian lapangan terbang kendaliannya, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISG) di Türkiye, merekodkan sejumlah 12.7 juta pergerakan penumpang sepanjang Jun.
“Daripada jumlah tersebut, 8.5 juta atau 68 peratus disumbangkan oleh lapangan terbang di Malaysia, yang merangkumi 4.2 juta penumpang antarabangsa dan 4.3 juta penumpang domestik.
“ISG pula mencatatkan 4.1 juta pergerakan penumpang, melibatkan 2.2 juta penumpang antarabangsa dan 1.9 juta domestik.
“Bagi Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB), pergerakan penumpang meningkat 9 peratus kepada 151,000 pada Jun berbanding 138,000 pada bulan sebelumnya.
“Penumpang antarabangsa meningkat lebih 10 peratus kepada 40,000, manakala penumpang domestik naik hampir sembilan peratus kepada 111,000,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, peningkatan itu disokong faktor muatan purata yang tinggi melebihi 70 peratus bagi laluan serantau seperti Seletar (Firefly), Changi (Scoot) dan Jakarta (TransNusa).
Katanya, kenaikan jumlah penumpang domestik turut dipacu sambutan Pesta Menuai di Sabah dan Sarawak serta Hari Raya Aidiladha yang berlangsung serentak dengan cuti sekolah.
“Dua daripada laluan tersebut dikendalikan oleh rakan penerbangan baharu iaitu Cambodia Airways (KR) yang melancarkan penerbangan dua kali seminggu antara Phnom Penh dan Pulau Pinang, sekali gus mengukuhkan hubungan rentas sempadan.
“Sementara itu, Juneyao Air (HO) memulakan penerbangan empat kali seminggu dari Shanghai ke KLIA, memperluas pilihan perjalanan antara Malaysia dan Asia Timur.
“Tiga laluan antarabangsa baharu turut dilancarkan oleh rakan sedia ada, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap pasaran penerbangan negara,” ujarnya.
Tambahnya, Batik Air Malaysia (OD) memulakan penerbangan dua kali seminggu antara KLIA dan Dili, Timor-Leste, AirAsia Cambodia (KT) memperkenalkan laluan tiga kali seminggu dari KLIA ke Sihanoukville, manakala AirAsia (AK) memulakan penerbangan empat kali seminggu antara KLIA dan Darwin, Australia. – UTUSAN