Kerajaan mansuh caj KWTBB bagi rancakkan program tenaga boleh baharu

Perniagaan

PETALING JAYA: Kerajaan telah mengecualikan kutipan 1.6 peratus Kumpulan Wang tenaga Boleh Baharu (KWTBB) daripada tarif elektrik yang dihasilkan tenaga hijau bagi merancakkan pembangunan dan integrasi TBB dalam pembekalan elektrik negara,

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam satu kenyataan memberitahu, kutipan 1.6 peratus  KWTBB daripada tarif elektrik pengguna telah diperkenalkan pada tahun 2011, sebagai dana untuk memangkin  pertumbuhan TBB di negara ini, melalui pelaksanaan mekanisme tarif galakkan atau Feed-in Tariff (FiT) oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.

Sejak pelaksanaan mekanisme FiT ini, kapasiti tenaga boleh baharu teragih dalam sistem pembekalan elektrik negara terutamanya daripada sumber solar telah meningkat secara mendadak iaitu daripada 5MW pada tahun
2011 kepada 5,100MW pada masa ini.

Pada masa yang sama, program FiT ini juga telah berjaya meningkatkan komposisi pembekalan elektrik daripada sumber biogas, biojisim dan hidro kuasa kecil kepada 855MW.

Susulan daripada jadual tarif elektrik baharu yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, Kerajaan telah meneliti semula pelaksanaan program TBB sedia ada dan memutuskan untuk meneruskan hasrat untuk galakkan penerapan TBB di kalangan pengguna elektrik.

Sehubungan itu, PETRA telah membuat ketetapan seperti berikut:

(i) Caj 1.6 peratus daripada tarif elektrik untuk KWTBB dikecualikan untuk bekalan elektrik hijau yang diperolehi pengguna daripada program TBB sedia ada di bawah Kementerian ini iaitu Program Green Electricity Tariff (GET), Program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) dan Program Community Renewable Energy Aggregation Mechanisme (CREAM); dan

(ii) Pengecualian ini akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025. Dengan ketetapan serta penambahbaikan ini, PETRA berharap ia akan memberikan insentif kepada pengguna terutamanya syarikat korporat dan industri untuk terus menyokong agenda peralihan tenaga negara ke arah mencapai sasaran 70 peratus TBB dalam pembekalan elektrik negara menjelang tahun 2050.

“Usaha ini juga diharap akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri TBB negara yang lebih progresif dan positif, seraya memenuhi tanggungjawab kepada generasi masa kini dan akan datang, sejajar dengan prinsip utama Malaysia MADANI,” demikian menurut kenyataan itu. – UTUSAN