Acer Malaysia rai ulang tahun ke-35, anjur Acer Day

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Acer Malaysia meraikan ulang tahun ke-35 tahun ini dengan penganjuran Acer Day 2025 bertemakan #BreakALimit yang berlangsung di seluruh negara dari 24 Julai hingga 30 September ini.

Sambutan tahunan yang kini memasuki tahun kesembilan, mengetengahkan teknologi sebagai pemacu untuk membantu individu mengatasi cabaran dan melangkaui batasan diri dengan sokongan inovasi terkini.

Presiden Operasi Pan Asia Pasifik Acer Inc, Andrew Hou berkata, kempen #BreakALimit memberi inspirasi kepada orang ramai supaya berani keluar daripada zon selesa untuk menemui potensi baharu.

“Kerjasama dengan jenama sukan seperti Adidas juga menunjukkan komitmen kami untuk terus berinovasi sambil memupuk semangat komuniti dan tenaga dinamik di rantau ini.

“Karnival ini akan bermula di Kota Bharu sebelum menjelajah ke 17 lokasi lain seperti Kota Kinabalu, Miri, Kuching, Bukit Mertajam dan Alor Setar sepanjang Ogos,” katanya di Majlis Peluncuran Media, semalam.

Acer Day 2025 turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk karnival, jelajah jalanan, jualan kilat, diskaun eksklusif serta kejohanan pickleball untuk pelajar universiti dengan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM835,350.

Sementara itu, Ketua Produk Paparan Acer Malaysia, Edmund Hoh berkata, syarikat turut melancarkan tiga produk terbaru sempena Acer Day 2025. 

“Produk tersebut ialah monitor mudah alih skrin sentuh pada harga promosi RM459, monitor EK1 series 144Hz dengan spesifikasi paling rendah pada RM429 dan monitor permainan Predator X27U X2 dengan panel OLED pada RM1,999,” katanya.

Tambah beliau, Predator X27U X2 yang baharu ini menggunakan panel QD OLED dengan kadar segar semula 240Hz dan resolusi 1440p, yang dianggap sebagai ‘titik manis’ untuk permainan kompetitif.

“Monitor ini sangat pantas, warnanya cantik dan direka untuk tahan lama tanpa perlu kerap ditukar tetapi masih sangat kompetitif di pasaran,” tambahnya. – UTUSAN